Terkini | New

McDonald’s Malaysia Tampil Dengan Siri Mini Drama “Senyuman” Lakonan Jack Tan dan Nabila Razali

McDonald’s Malaysia Tampil Dengan Siri Mini Drama “Senyuman” Lakonan Jack Tan dan Nabila Razali

Siri Terbaharu Dalam Koleksi Mini Drama McDonald’s Malaysia Papar Kisah Menyentuh Hati dan Kemudahan Aplikasi McDonald’s


McDonald’s Malaysia telah melancarkan sebuah siri drama terbaharu yang bertajuk “Senyuman”. Drama ini merupakan sebahagian daripada usaha McDonald's Malaysia untuk mengeratkan hubungan dengan pelanggan mereka.

Siri drama tujuh episod ini akan ditayangkan buat pertama kali pada 7 Ogos 2025, dan boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi McDonald’s Malaysia. Ciri menarik drama ini adalah jalan ceritanya yang menggunakan pelbagai bahasa, yang mencerminkan cara unik McDonald’s Malaysia mendekati rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

“Senyuman” adalah kesinambungan daripada koleksi mini drama McDonald’s Malaysia yang menggabungkan elemen hiburan dan penceritaan jenama. Drama ini juga mengetengahkan tawaran hidangan bernilai yang boleh didapati setiap hari melalui Aplikasi McDonald’s. Siri mini drama McDonald's Malaysia sebelum ini termasuklah "Rugi Tau Tak Pakai App McD", "Love at McD", "Ms App", "The Best Deal", dan "Kau Sundaeku", yang kesemuanya mendapat sambutan yang baik.


Menurut Chin Mei Lee, Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, “Di McDonald’s Malaysia, kami komited untuk mencipta detik-detik indah yang menceriakan rakyat Malaysia, sama ada melalui hidangan, layanan mahupun cara kami berinteraksi dengan pelanggan”. Beliau menambah, “Senyuman mencerminkan semangat feel-good kami yang mana ia adalah sebuah kisah yang menghangatkan jiwa, dekat di hati, dan penuh makna”.

Siri ini menampilkan pelakon dan pemenang anugerah, Jack Tan, sebagai watak utama bernama Ming. Nabila Razali, seorang penyanyi dan pelakon terkenal, turut membintangi siri ini sebagai June, watak yang ceria dan membawa kegembiraan dalam hidup Ming. Penonton juga boleh menantikan penampilan khas daripada Lim Jian Wen. Gabungan pelakon-pelakon ini menghidupkan kisah yang penuh dengan nilai persahabatan, empati dan momen-momen kecil yang bermakna.


“Senyuman” mengisahkan tentang Ming, seorang pemuda yang pendiam dan sukar didekati, yang sudah lama tidak tersenyum. Rakan sekerjanya, June, perlahan-lahan cuba mendekati Ming dan mengajaknya makan malam di McDonald’s. Di sana, sepinggan kentang goreng menjadi permulaan sebuah hubungan yang perlahan-lahan menyembuhkan kesepian Ming.

Jack Tan berkongsi bahawa drama ini bukan sekadar sebuah projek, tetapi sebuah cerita mengenai sisi manusia yang jarang diberikan perhatian. Beliau tertarik dengan kesunyian yang dialami oleh watak Ming, yang merupakan pengalaman biasa bagi ramai orang.

Nabila Razali pula menyatakan bahawa “Senyuman” membawa pendekatan yang lebih menyentuh perasaan dan mudah diterima berbanding iklan biasa yang selalunya ceria dan bertenaga. Beliau gembira dapat menjadi ‘sinar’ dalam hari-hari suram Ming.

Setiap inisiatif McDonald’s Malaysia mempunyai satu matlamat utama, iaitu untuk menjadikan detik harian pelanggan lebih mudah dan menyeronokkan, terutamanya melalui Aplikasi McDonald’s. Aplikasi ini mempunyai lebih 19 juta muat turun dan 1.4 juta pengguna aktif, yang memudahkan pelanggan untuk membuat pesanan, menikmati promosi harian dan mengumpul ganjaran.

Tayangan perdana “Senyuman” akan disiarkan pada 7 Ogos 2025, jam 8 malam, dengan episod baharu disiarkan setiap hari. Anda boleh menontonnya di akaun Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube rasmi McDonald’s Malaysia.