Terkini | New

NAZU SAJI “KOPI” BUAT PENCINTA MUZIK MALAYSIA

NAZU SAJI “KOPI” BUAT PENCINTA MUZIK MALAYSIA

Artis Baharu Naungan Sony Music Malaysia Perkenal Diri Dengan Single Sulung Hasil Ciptaan Sendiri, Nyanyian Bersama Fahimi


Syarikat rakaman terkemuka negara, Sony Music Malaysia dengan bangganya memperkenalkan bakat baharu dalam dunia muzik tempatan: NAZU, seorang penyanyi muda berusia 20 tahun yang menjanjikan sesuatu yang segar dan berbeza.

Kemunculan rasminya sebagai artis naungan label antarabangsa ini disempurnakan menerusi pelancaran single sulung berjudul “KOPI” – sebuah karya pop yang santai, dreamy dan sangat relatable dengan generasi masa kini.

“Saya mula menulis lagu ini sekadar suka-suka ketika di bangku sekolah menengah lagi. Saya tidak sangka lagu ini bakal menjadi lagu pertama saya sebagai penyanyi profesional satu hari nanti. Lagu ini rasa jujur, santai dan paling menggambarkan siapa saya sebagai penyanyi,” ujar NAZU mengenai karya yang membuka lembaran baharu dalam karier seninya.

Dari Ruang TikTok Ke Studio Rakaman 
NAZU atau nama sebenarnya Nor Azureen Binti Saharin mula menyanyi sejak kecil lagi, sekitar umur tujuh tahun. Dia dipengaruhi oleh ahli keluarganya yang turut mempunyai minat yang sama dalam muzik. Namun, kerjaya seninya mula menunjukkan potensi sebenar apabila video TikTok cover lagu “Masa” nyanyiannya meraih lebih sejuta tontonan dalam masa seminggu sahaja! Dan dari situlah segalanya bermula…

“Bila video itu menjadi viral, saya rasa lebih yakin untuk terus berkongsi muzik saya. Dan bila saya dapat tawaran untuk menjadi artis di bawah Sony Music, saya rasa bersyukur sangat. This is a dream come true!,” katanya.

Kini, NAZU merupakan penyanyi sepenuh masa dan sedang bersedia mengorak langkah lebih jauh dalam industri hiburan tanah air.

“KOPI” – Kisah Fiksyen, Tapi Relatable
Lagu ini menampilkan cerita cinta ringan yang berlatarkan suasana santai di sebuah kafe. Ia berkisar tentang seorang gadis pemalu yang gemar berangan, dan akhirnya berkenalan dengan seorang lelaki. Walaupun bersifat fiksyen, NAZU menulis lagu ini dengan gaya bersahaja dan penuh karakter.

“Lagu ini tentang seorang gadis lonely yang kuat berangan, suka lepak di kafe dan seorang pencinta kopi, tiba-tiba ada lelaki minat pada dia. Dari situlah tercetusnya idea lirik lagu ini  ‘suka matcha atau suka kopi, kalau pilih kopi, baik kopi-lih aku’,” jelas Nazu tertawa kecil. 

“Saya memang gemar reka ayat yang kelakar sedikit, jadi apa kata saya cipta lagu yang ada pick-up line?”.

Kolaborasi Bersama Fahimi & Ezra Kong
Lagu ini diterbitkan dengan sentuhan Ezra Kong, komposer dan penerbit muzik tersohor, serta kolaborasi istimewa bersama Fahimi, penyanyi dan kreator kandungan yang turut menyumbang vokal dan lirik.

“Fahimi banyak membantu saya bina keyakinan ketika sesi rakaman. Ezra pula banyak mengajar saya dari segi susunan dan pemilihan lirik. Sebagai rakaman pertama saya, pengalaman tersebut sangat berharga buat saya,” ujar NAZU.

Walaupun ini merupakan pengalaman pertamanya di studio profesional, proses rakaman hanya dijalankan dalam dua sesi sahaja, dengan lancar. 

Mencari Identiti Sendiri
Sebagai artis baharu, NAZU tidak tergesa-gesa untuk mengunci dirinya dalam satu genre yang
tertentu. Baginya, setiap karya adalah ruang untuk mencuba, belajar dan membentuk suara yang benar-benar menggambarkan siapa dirinya.

“Saya masih dalam proses mencari gaya muzik saya sendiri. Tapi satu perkara yang saya tahu, saya hendak jadi penyanyi yang ada kelainan dan ketulenan. Muzik saya kena ada karakter, kena ada jiwa,” katanya.

Namun, perjalanan awal sebagai artis muda juga tidak bebas daripada cabaran, luahnya, “Saya masuk ke industri ini diusia yang agak muda, jadi kadang-kadang takut hendak bersuara tentang apa yang saya suka atau tidak suka. Alhamdulillah, keluarga sentiasa ada memberi semangat, dan pihak Sony Music turut memberi dorongan yang positif.”



Langkah Seterusnya & Harapan Buat “KOPI”
NAZU kini dalam perancangan menghasilkan single keduanya, dengan proses penulisan lirik yang sedang dijalankan. “Saya sedang dalam proses menulis lagu baharu. Jadi, saya harap single seterusnya akan bawa vibe yang lain pula. Yang penting, saya hendak kekalkan keaslian dalam setiap karya,” kata NAZU.

Buat masa ini, dia menaruh harapan tinggi agar KOPI dapat diterima baik oleh para pendengar. “Harapan saya agar lagu ini boleh buat orang rasa tenang, rasa tersenyum-senyum sendiri. Kalau tengah sedih, tengah stress ataupun tengah suka seseorang pun boleh dengarkannya. Saya hargai semua yang menyokong saya dari awal,” akhiri NAZU menutup bicara.

Pelancaran Di Semua Platform Digital
Bermula 08 Ogos 2025, single “KOPI” boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music.