Terkini | New

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) & Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mengagihkan Bantuan Kewangan Sebanyak Rm70,300.00 Kepada Masyarakat Wilayah Persekutuan

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) & Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mengagihkan Bantuan Kewangan Sebanyak Rm70,300.00 Kepada Masyarakat Wilayah Persekutuan


​Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini telah menganjurkan Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS dan Skim Khairat Kematian YWP 2025 di Dewan Masjid Jamek, Kampung Baru. 

Majlis ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga yang memerlukan, selaras dengan komitmen berterusan YWP dalam memperkasakan masyarakat.



​Majlis telah disempurnakan oleh YBrs Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, bersama YBrs Puan Nur Jalilah Md. Joha, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Titiwangsa, yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.


​Pada tahun ini, sejumlah RM70,300.00 telah diagihkan kepada 94 penerima manfaat. Peruntukan ini merangkumi:

Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS: Sejumlah RM55,300.00 telah disalurkan kepada 79 pelajar sebagai bantuan kewangan awal berbentuk one-off sebanyak RM700.00 setiap seorang. Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, skim ini telah menyalurkan lebih RM3.4 juta kepada 5,291 pelajar dari Wilayah Persekutuan.

Skim Khairat Kematian YWP: Sejumlah RM15,000.00 telah disumbangkan kepada 15 penerima untuk membantu mengurangkan beban kewangan keluarga yang berdepan ujian kematian.



​Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed berkata, "Inisiatif ini membuktikan komitmen YWP untuk memastikan dana diagihkan secara telus dan saksama kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Kami berharap bantuan ini dapat menjadi pemangkin semangat dan sinar harapan baharu untuk penerima dalam membina kehidupan yang lebih baik."


​YWP dan DBKL turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak—rakan korporat, NGO, dan individu penyumbang yang terus mendukung program-program kebajikan ini. Sokongan kolektif ini membuktikan bahawa kesejahteraan masyarakat hanya boleh dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak.



​Majlis diakhiri dengan penyerahan cek bantuan dan sesi ramah mesra bersama penerima bagi mengukuhkan lagi hubungan antara YWP dengan masyarakat.

​Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.yayasanwp.org/