Kozae (One Nation Emcees) Kembali Dengan Rap Balada Emosional, “pengubat Rindu”, Bersama Penyanyi Misteri, Nxr
Kozae (One Nation Emcees) Kembali Dengan Rap Balada Emosional, “pengubat Rindu”, Bersama Penyanyi Misteri, Nxr
Selepas kejayaan projek kolaborasi REALITI bersama Azharina pada tahun 2024, artis hip-hop tanah air, Kozae (anggota kumpulan popular One Nation Emcees), kini kembali menggegarkan persada muzik dengan single terbaharu berjudul "PENGUBAT RINDU".
Lagu berentak Rap Balada ini merupakan sebuah naskhah istimewa yang sarat dengan emosi, menceritakan mengenai nilai persahabatan sejati dan fasa penting untuk ‘move on’ dalam kehidupan.
Kolaborasi Misteri dan Irama Nostalgia
"PENGUBAT RINDU" adalah projek kolaborasi istimewa Kozae bersama penyanyi misteri bergelar ’NXR’, yang merupakan sahabat baik Kozae sendiri. Apa yang menarik, ramai yang mungkin menyangka lagu ini adalah hasil karya Artificial Intelligence (AI) kerana alunan merdu suara NXR yang begitu lunak dan seakan-akan menyerupai suara Allahyarham Sudirman. Namun, Kozae menegaskan bahawa lagu ini adalah hasil karya insan sebenar.
Idea untuk menghasilkan "PENGUBAT RINDU" tercetus secara tiba-tiba apabila Kozae ‘bertemu’ kembali dengan NXR di laman sosial setelah lama terputus hubungan.
Didedikasikan kepada Sahabat Sejati
Walaupun inspirasi asal lagu ini adalah untuk menceritakan pengalaman Kozae sebagai anak seni sewaktu menganggotai One Nation Emcees, liriknya secara tidak sengaja membawa ‘pesanan’ terakhir daripada sahabat baik Kozae, Allahyarham Jojoe.
“Lirik ini seolah-olah menceritakan pesanan daripada Allahyarham Jojoe ketika beliau mula berhijrah meninggalkan hal-hal duniawi dan fokus kepada ibadah,” jelas Kozae. Antara kata-kata Allahyarham kepada Kozae seminggu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir ialah, “Kalau ingat aku, bolehlah jadikan ini sebagai pengubat rindumu…”
“Pengubat Rindu” digubah oleh Kozae sendiri bersama Dan.el, manakala liriknya adalah hasil kerjasama antara Kozae, Trigga, dan Dan.el.
"PENGUBAT RINDU" boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 15 Ogos 2025.