Etika Memacu Pengurusan Sisa Dipacu Komuniti di Semporna
Etika Memacu Pengurusan Sisa Dipacu Komuniti di Semporna
Dengan kerjasama Reef Check Malaysia, Etika melaksanakan Program Pengurusan Sisa Semporna untuk membantu penduduk Kg Sri Aman menguruskan kebersihan dan kelestarian persekitaran melalui sistem praktikal, latihan kemahiran dan aktiviti komuniti.
Dari kiri: Encik Ahmad Zhafri Samsudin, Pengurus Projek, Malaysian Recycling Alliance (MAREA); Cik Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran, Etika Sdn Bhd; Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad; Encik Santharuban T. Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn Bhd; Dr. Dayang Siti Maryam Binti Mohd Hanan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS); Encik Julian Hyde, Ketua Pegawai Eksekutif Reef Check Malaysia; Cik Theresa Ng, Ketua Pegawai Operasi Reef Check Malaysia; Tuan Hassan Gabra bin Haji Hajan, wakil dari Kg Sri Aman dan Puan Samsiah Sabdan, Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Semporna, merasmikan majlis pelancaran Program Pengurusan Sisa Semporna.
Etika Sdn Bhd dengan kerjasama Reef Check Malaysia (RCM) serta disokong oleh Malaysian Recycling Alliance (MAREA) telah mengumumkan pelancaran Program Pengurusan Sisa Semporna, sebuah inisiatif perintis bagi mewujudkan sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti yang berfungsi di Kampung Sri Aman, Semporna.
Projek Pengurusan Sisa Kampung Sri Aman ini bertujuan membangunkan model pengurusan yang tersusun dan mampan, yang boleh dijadikan contoh serta dilaksanakan di kawasan pesisir pantai lain.
Melalui inisiatif ini, Etika akan memberi sokongan menyeluruh daripada pelaksanaan audit sisa dan penyediaan infrastruktur hinggalah kepada latihan serta penglibatan komuniti, bersama Reef Check Malaysia dan disokong oleh MAREA, bagi memupuk kelestarian jangka panjang dalam komuniti setempat.

Santharuban Thurai Sundram, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, menerangkan tujuan inisiatif tersebut semasa ucapan alu-aluannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika, Santharuban Thurai Sundram, berkata, “Projek ini memberi peluang kepada kami untuk menawarkan penyelesaian yang praktikal dan memberi kesan nyata kepada cabaran yang dihadapi komuniti setempat. Kelestarian hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat yang terlibat turut diberi peranan dan melalui kerjasama dengan pihak tempatan, kami berharap dapat mewujudkan impak jangka panjang yang bermakna.”
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menyambut baik inisiatif ini oleh Etika sebagai langkah positif dalam memperkukuhkan usaha pembangunan lestari di negeri ini. “Selain menangani cabaran pengurusan sisa, program ini secara langsung menyokong pemeliharaan keindahan semula jadi dan kepelbagaian biologi yang menjadikan Sabah destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Dengan melengkapkan komuniti Kg Sri Aman dengan kemahiran dan infrastruktur untuk mengurus persekitaran mereka secara bertanggungjawab, kita bukan sahaja melindungi ekosistem marin, malah turut memberi kuasa kepada penduduk tempatan untuk mengambil peranan menjaga alam sekitar mereka. Kerjasama ini membina asas yang kukuh bagi inisiatif pelancongan ekologi dan usaha pemuliharaan yang akan dilaksanakan di seluruh negeri pada masa hadapan.”
Menjelang akhir tahun 2028, projek ini menyasarkan 99 isi rumah di Kg. Sri Aman dilengkapi dengan tong sisa, dengan sekurang-kurangnya 90% daripadanya mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pengasingan sisa. Dalam jangka panjang, program ini berhasrat untuk mengalihkan lebih 10,000 kilogram sisa daripada persekitaran.


Adzmin Fatta, Pengurus Program Reef Check Malaysia, menyorot projek ini sebagai langkah penting dalam mempromosikan pengurusan sisa lestari serta penyelesaian dipacu komuniti, “Projek Kg Sri Aman menunjukkan kepentingan polisi pengurusan sisa yang tersusun dan pelaksanaan berasaskan komuniti. Dengan menjalankan sistem yang praktikal di peringkat tempatan, ia menyediakan model yang boleh dijadikan rujukan bagi strategi kerajaan, menyokong rangka kerja peraturan, dan membimbing pelaksanaan program di komuniti lain yang menghadapi cabaran serupa pada masa hadapan.”
Selain memberi manfaat kepada alam sekitar, program ini juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung, yang akan dilibatkan sebagai pengutip dan penyelaras sisa. Bahan kitar semula yang dikumpul akan dihantar ke pusat pengumpulan untuk dikitar semula, dan hasil keuntungan daripadanya akan disalurkan semula bagi memperkukuh inisiatif pengurusan sisa dan kitar semula komuniti.
Kerjasama strategik dengan agensi kerajaan seperti Majlis Daerah Semporna (MDS), Pejabat Daerah, dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan memastikan inisiatif ini selaras dengan rancangan pembangunan tempatan serta berpotensi diperluaskan ke komuniti lain di seluruh Sabah pada masa hadapan.
Etika, Reef Check Malaysia, dan MAREA berganding bahu untuk memperkukuh pengurusan sisa di peringkat komuniti, sambil menyokong inisiatif kelestarian alam sekitar yang lebih meluas di Malaysia.
Etika, Reef Check Malaysia, dan MAREA kini berganding bahu untuk memperkukuh pengurusan sisa di peringkat komuniti, sambil menyokong inisiatif kelestarian alam sekitar yang lebih meluas di Malaysia.
