Terkini | New

Istana Budaya Martabatkan Bahasa Dan Seni Melalui Pementasan Karya Agung Teater Muzikal Uda Dan Dara

Istana Budaya Martabatkan Bahasa Dan Seni Melalui Pementasan Karya Agung Teater Muzikal Uda Dan Dara


Istana Budaya kembali memartabatkan bahasa dan seni melalui pementasan teater adaptasi dari hasil tulisan naskah karya agung Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang pada 20 hingga 23 November 2025 bertempat di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang.


Istana Budaya sebagai salah satu agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mengekalkan kecemerlangan seni persembahan pentas bertaraf dunia telah diberikan peranan untuk mementaskan persembahan Teater Muzikal Uda dan Dara bersama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya). Teater Muzikal ini diperuntukkan di bawah B11 Ikhtiar 57 Bahasa dan Karya Kreatif melalui Program Memartabatkan Bahasa dan Karya Agung Insentif Belanjawan MADANI 2025.



Mekar Budaya merupakan sebuah kumpulan kesenian bukan Kerajaan (NGO) seni tempatan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2002 oleh Allahyarham M. Nasri Ayob dan Dr. Marlenny Deenerwan. Mekar Budaya juga merupakan NGO seni persembahan yang aktif dan konsisten mengangkat karya Sasterawan Negara, menganjurkan pementasan teater, bengkel, forum serta dokumentari kesenian seperti Tirai Qalam dan berperanan penting sebagai sektor ketiga yang menyokong inisiatif Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem seni dan budaya.



Kerjasama di antara institusi seni negara Istana Budaya dan Mekar Budaya, Teater Muzikal Uda dan Dara ini diharap dapat menjadi simbol kesatuan antara bahasa, budaya dan masyarakat, menyemarakkan kembali semangat cinta dan perjuangan yang menjadi inti pati karya agung Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang. Kerjasama ini juga selaras dengan hasrat murni dan peranan Istana Budaya dalam menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran khususnya dalam bidang seni persembahan.

Antara empat objektif utama pementasan teater ini adalah untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu yang puitis, sejajar dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan setiap tahun. Selain itu, mengangkat karya agung tempatan kepada masyarakat umum, khususnya hasil tulisan Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr, Usman Awang. Teater ini juga adalah sebagai salah satu medium memperkasakan linguistik dan keindahan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui platform teater dan seni budaya disamping menjadikan karya agung negara sebagai tanda aras kecemerlangan teater Malaysia dari aspek pengarahan, rekaan kostum, set, muzik dan koreografi.


Sebagai karya ikonik, pementasan teater ini telah diolah semula dalam bentuk muzikal kontemporari, namun masih mengekalkan bahasa puitis serta mesej sosial asal karya tersebut. Persembahan ini diserikan dengan gabungan muzik dan tarian tradisional Melayu bersama elemen muzikal moden, menjadikannya persembahan yang segar dan relevan kepada khalayak masa kini, termasuk generasi muda dan tempatan.

Karya agung Uda dan Dara oleh Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang ini digarap dengan arahan bersama Pengarah Persembahan Encik Nik Muhamad Faiszulikwan (Istana Budaya) dan Dr. Marlenny Deenerwan (Mekar Budaya) serta dibantu oleh Aqil Rozai sebagai Penolong Pengarah (Mekar Budaya). Teater ini menampilkan beberapa artis tempatan berbakat besar iaitu Johan As’ari. Zera Hariz, Jay Iswazir, Farah Ahmad, Azwan Hassan, Sara Sulaiman dan Amerul Affendi. Berikut adalah senarai watak bagai pementasan Teater Uda dan Dara;

WATAK | PELAKON
Uda   -  Johan As’ari
Dara - Zera Hariz
Alang Bakhil - Jay Iswazir
Mak Dara - Farah Ahmad.
Utih - Amerul Affendi
Pak Long - Azaman Hassan
Mak Long - Sara Sulaiman

Teater Muzikal Uda dan Dara mengisahkan tentang seorang pemuda petani kampung bernama Uda, yang jatuh cinta dengan Dara, seorang gadis dari keluarga kaya dan berpengaruh di kampung. Perbezaan darjat dan status sosial menghalang hubungan mereka apabila keluarga Dara juga para golongan bangsawan tidak merestui kasihcinta mereka. Sementara itu, seorang tokoh kaya dan tamak iaitu Alang Bakhil memanfaatkan kemiskinan petani dengan menindas mereka. Uda berusaha mengubah nasibnya, tetapi ketika dia pulang untuk menuntut Dara, berlaku konflik memuncak sehingga Uda akhirnya terbunuh dalam perjuangan menentang penindasan. Dara menanggung kesedihan atas kehilangan cinta dan kezaliman yang berlaku. Namun, di sebalik kesedihan itu, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang menonjolkan mesej kemanusiaan yang mendalam: bahawa cinta, keikhlasan dan maruah diri lebih berharga daripada kemewahan dan pangkat duniawi.

Persembahan kali ini menampilkan gabungan tarian dan muzik tradisional Melayu yang digarap dengan sentuhan muzikal moden, menjanjikan pengalaman pentas yang segar dan menghiburkan. Setiap lagu disusun dengan kreatif dengan iringan muzik secara langsung di pentas, bagi mewujudkan suasana persembahan yang fleksibel, bertenaga serta memperindahkan lagi persembahan. Dari segi teknikal, penggunaan teknologi moden dalam pencahayaan, sistem bunyi dan rekaan pentas memberi sentuhan moden yang menambah keindahan visual dan suasana keseluruhan. Menariknya, set dan kostum tradisional masih dikekalkan lambang kepada identiti budaya Melayu.

Teater Uda dan Dara akan berlangsung selama empat hari dengan lima  pementasan bermula pada 20 hingga 23 November 2025. Bagi persembahan malam dijadualkan pada 20 hingga 22 November 2025, jam 8.00 malam di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang. Manakala persembahan pada sebelah petang (slot matinee) pada 22 dan 23 November 2025, jam 2.30 petang di pentas yang sama.

Tiket persembahan telah dibuka untuk dijual menerusi platform Cloudjoi bermula pada harga tiket serendah RM40, RM75, RM100 dan RM150. Tempahan tiket boleh didapati di setiap platform media sosial Istana Budaya atau imbas kod QR yang terdapat pada poster hebahan Istana Budaya. Selain itu, IB turut memberikan potongan harga sebanyak 15% khususnya buat tiket beharga RM150 bagi Warga Emas, Penjawat Awam, Pelajar dan Golongan Kurang Upaya (OKU) dengan terma dan syarat.