Terkini | New

Jakel Cetus Fenomena Raya 2026, Fazura ‘Meletup’ Dalam Kolaborasi Eksklusif

Jakel Cetus Fenomena Raya 2026, Fazura ‘Meletup’ Dalam Kolaborasi Eksklusif


Jenama tekstil dan fesyen terkemuka negara, Jakel, terus melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya dalam tempoh lebih 40 tahun penubuhannya, menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen berskala besar menerusi acara eksklusif Jakel Fenomena Raya 2026.



Pertunjukan fesyen ini menjadi platform utama bagi memperkenalkan koleksi Raya terbaharu Jakel 2026, sekali gus menandakan transformasi baharu jenama tersebut dalam meraikan fesyen raya dengan pendekatan yang lebih segar, moden dan berimpak tinggi.



Menurut Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Pemasaran & Promosi, Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel, penganjuran Jakel Fenomena Raya 2026 adalah satu detik bersejarah buat syarikat itu.

"Selepas lebih 40 tahun Jakel berada dalam industri, ini adalah pertama kali kami menganjurkan pertunjukan fesyen berskala besar. Jakel Fenomena Raya 2026 bukan sekadar memperkenalkan koleksi baharu, tetapi menjadi simbol evolusi dan aspirasi kami dalam mengangkat fesyen Raya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.


Lebih mencuri tumpuan, Jakel Fenomena Raya 2026 turut menampilkan kolaborasi eksklusif bersama bintang tersohor Fazura, yang menjadi antara sorotan utama acara tersebut. Kolaborasi ini bukan pelantikan sebagai duta, sebaliknya kerjasama khas eksklusif Jakel 2026, sekali gus mencetuskan fenomena dan keterujaan dalam kalangan peminat serta pemerhati industri fesyen.

"Kolaborasi eksklusif bersama Fazura ini kami jangka mampu mencipta impak besar dan mencetuskan fenomena tersendiri. Ia selari dengan matlamat kami untuk memastikan Jakel Fenomena Raya 2026 mendapat perhatian meluas, terutamanya dalam kalangan media digital dan e-media,” jelas Muzaffar.

Pertunjukan fesyen ini turut diserikan dengan kehadiran barisan duta utama Jakel Raya 2026, yang terdiri daripada selebriti dan personaliti terkenal tanah air, iaitu Nabil Ahmad dan famili, Achey dan famili, Senario, Cik Epal & Ammar, Elly Mazlein, Kamal Adli dan Que Haidar.


Selain itu, Jakel turut memperkenalkan barisan duta Gen Z Jakel Raya 2026, sebagai usaha mendekati generasi muda dan pelanggan baharu. Antara duta Gen Z terbabit ialah Lorenzo Irmann, Ara Bella Ellen, Zarif Ghazi dan Bella Dowanna.

Kesemua duta ini tampil memperagakan koleksi Raya 2026 yang mengetengahkan rekaan elegan, kontemporari dan versatil, sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat

Pada masa sama, Jakel turut mengumumkan pelancaran JAKEL PRA-RAMADAN SALE, yang akan berlangsung bermula 23 Januari hingga 18 Februari ini, bersempena pengenalan New Collection 2026.

"Jualan Pra-Ramadan ini memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan koleksi Raya 2026 lebih awal dengan tawaran istimewa. Ia adalah sebahagian daripada komitmen Jakel untuk memastikan pelanggan sentiasa menikmati pilihan terbaik menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” tambah Muzaffar.

Jakel Fenomena Raya 2026 bukan sekadar sebuah pertunjukan fesyen, malah menjadi manifestasi komitmen Jakel dalam memperkukuh kedudukan sebagai peneraju fesyen Raya negara, memperluas kolaborasi strategik serta mencipta fenomena baharu yang relevan dengan kehendak generasi masa kini.