Terkini | New

Pitahati Kembali Dengan “Inchek Karma!” Sindiran Tentang Kuasa, Kesan, Dan Pembalasan

Pitahati Kembali Dengan “Inchek Karma!” Sindiran Tentang Kuasa, Kesan, Dan Pembalasan


Band alternatif tempatan, Pitahati, kembali dengan.single terbaharu mereka berjudul “Inchek Karma!”, yang bakal dilancarkan pada 24 April 2026 di bawah naungan label Luncai Emas.

“Inchek Karma!” hadir sebagai kesinambungan daripada karya terdahulu mereka, “Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit)”, dengan membawa kesinambungan dari segi ‘vibe’ dan tema. Lagu ini memperluaskan naratif sedia ada dengan pendekatan yang lebih tajam dan reflektif terhadap keadaan semasa.

Mengangkat tema karma, lagu ini menyentuh tentang individu yang bertindak sesuka hati — melakukan kejahatan tanpa menyedari kesan terhadap orang di sekeliling. Namun, mesej utamanya bersifat universal: setiap perbuatan pasti ada balasan. Seperti yang dipercayai dalam pelbagai agama dan kepercayaan, kebaikan akan dibalas baik, dan kejahatan tidak akan terlepas daripada akibatnya.

Walaupun lagu ini tidak ditulis dengan merujuk kepada mana-mana individu tertentu, konteks dunia hari ini menjadikan ia relevan dengan pelbagai isu semasa.

Ia boleh ditafsirkan sebagai sindiran terhadap individu berkuasa yang bertindak tanpa empati atau kesedaran sosial, termasuk tokoh-tokoh kontroversi serta individu lain yang mencerminkan sifat dan kecenderungan yang sama.

Kecenderungan Pitahati untuk menyentuh tema berunsur politik dan sosial dalam karya ini turut dipengaruhi oleh realiti global hari ini. Persekitaran semasa menjadi pemangkin kepada penghasilan lirik-lirik yang lebih berani dan berlapis makna.

Dari sudut artistik, ada beberapa unsur di dalam lagu ini yang telah digunakan untuk menyampaikan mesej mereka. Salah satunya, dan mungkin yang paling jelas, adalah penggunaan bunyi ayam berkokok di awal lagu. Penggunaan ini membuka ruang kepada pelbagai tafsiran. Ia boleh dilihat sebagai simbol permulaan hari satu metafora bahawa pembalasan atau ‘karma’ akan tiba awal dan tepat pada waktunya. Dalam masa yang sama, ia juga boleh ditafsirkan sebagai sindiran bahawa masyarakat kini sedang ‘diayam-ayamkan’, atau dipermainkan tanpa disedari.

Seiring dengan pelancaran digital, Pitahati turut akan melancarkan video muzik rasmi (MV) pada hari yang sama, menawarkan pengalaman visual yang melengkapi naratif lagu ini.

Dengan “Inchek Karma!”, Pitahati berharap agar karya ini menjadi pedoman dan

cerminan kepada masyarakat — satu peringatan untuk lebih sedar akan tindakan

sendiri serta kesannya terhadap orang lain.