SLD AetherDrive mahu jadi pemacu ekosistem keselamatan kenderaan berat komersial Malaysia
SLD AetherDrive mahu jadi pemacu ekosistem keselamatan kenderaan berat komersial Malaysia
Peranti kawalan had laju (SLD) AetherDrive bakal membuka lembaran baharu mahupun menjadi pemacu pembinaan ekosistem keselamatan kenderaan berat komersial yang lebih menyeluruh dan berteknologi tinggi di negara ini.

Peranti keluaran sebuah syarikat China, Shanghai Xingrong Automotive Technology Co. Ltd., ini menawarkan penjagaan dan sokongan keselamatan kenderaan berkenaan yang pintar, selamat dan sihat, kata Pengarah dan Pengasasnya, Jackie Cai Jiye.
\“Kerjasama strategik yang dimeterai bersama rakan syarikat tempatan, NQ Cultural Commercial (NQCC) Sdn. Bhd. melibatkan pembangunan infrastruktur teknologi yang mampu menyokong keselamatan kenderaan itu secara holistik. SLD ialah sebahagian daripada keseluruhan ekosistem membabitkan kawalan kelajuan dan pengurusan muatan kenderaan berat komersial,” katanya pada majlis pelancaran produk itu di sebuah hotel Pullman Kuala Lumpur.


Turut hadir dalam majlis yang menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman ialah Pengerusi NQ Cultural Commercial (NQCC) Sdn. Bhd., Dr. Mazlan Goh Ahmad Goh.
Jelas Jackie, teknologi SLD yang dibawa ke Malaysia telah terbukti keberkesanannya berdasarkan penggunaannya lebih 20 tahun di China sekali gus memberikan keyakinan Shanghai Xingrong Automotive untuk menembusi pasaran tempatan.


“Berdasarkan pengalaman kami, walaupun pasaran Malaysia lebih kecil berbanding China, struktur dan jenis kenderaan sasaran khususnya trak adalah hampir sama yang turut memberi kelebihan untuk kami menyesuaikan teknologi dengan lebih cepat,” ujarnya.


Mengulas isu keselamatan jalan raya, beliau menegaskan bahawa kelajuan berlebihan sentiasa menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat.
“Saya sendiri telah beberapa kali menyaksikan kemalangan di lebuh raya, khususnya dalam perjalanan dari lapangan terbang dan kebanyakannya berpunca daripada kelajuan berlebihan kenderaan ini,” katanya.


Namun, beliau mengingatkan bahawa kaedah kawalan kelajuan tradisional secara mendadak contohnya daripada 90 kilometer sejam kepada 60 atau 70 kilometer sejam berpotensi mencetuskan risiko kemalangan baharu.

“Teknologi SLD AetherDrive mengawal kelajuan secara lebih saintifik dan berperingkat, dengan julat hampir 99 kilometer sejam bagi memastikan kestabilan serta keselamatan optimum. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi pemandu, malah pengguna jalan raya lain kerana ia mengelakkan kejutan brek secara tiba-tiba,” jelasnya.



Selain kawalan kelajuan, sistem tersebut juga mampu menangani isu lebihan muatan serta integrasi pelbagai fungsi keselamatan lain yang bergantung kepada keperluan pasaran Malaysia. Jackie turut yakin, AetherDrive mampu menjadi pemain utama dalam sektor teknologi keselamatan kenderaan komersial di Malaysia seiring peningkatan permintaan terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih selamat dan efisien.