Terkini | New

Watsons Malaysia Memperkukuh Sokongan terhadap Visit Malaysia 2026 melalui Kerjasama Strategik sebagai ‘Destinasi Runcit Kesihatan & Kecantikan Pertama’.

Watsons Malaysia Memperkukuh Sokongan terhadap Visit Malaysia 2026 melalui Kerjasama Strategik sebagai ‘Destinasi Runcit Kesihatan & Kecantikan Pertama’.


Sebagai peruncit kesihatan dan kecantikan No. 1 negara, Watsons Malaysia yang juga sebahagian daripada AS Watson Group dengan lebih 185 tahun warisan peruncitan — hari ini mengumumkan kerjasama strategik dalam menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026. Inisiatif ini menyaksikan transformasi cawangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjadi “Destinasi Runcit Kesihatan & Kecantikan” pertama yang menawarkan pengalaman membeli-belah khusus buat pelancong antarabangsa sebaik sahaja tiba di Malaysia.

Inisiatif ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, bersama Caryn Loh, Pengarah Urusan Watsons Malaysia merangkap Ketua Operasi (COO) Kesihatan & Kecantikan Asia, AS Watson Group, sekaligus menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama sektor awam dan swasta bagi mempertingkatkan pengalaman para pelancong yang melawat Malaysia.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen Watsons Malaysia dalam menyokong agenda pelancongan Kerajaan dengan mengintegrasikan sektor runcit kesihatan dan kecantikan ke dalam ekosistem pelancongan secara keseluruhan. Sebagai salah satu runcit pertama yang boleh ditemui oleh pelancong sejurus tiba, cawangan Watsons di KLIA2 akan menawarkan produk terpilih, promosi eksklusif serta elemen budaya yang imersif bagi menampilkan identiti Malaysia yang berwarna-warni.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Tuan Chiew Choon Man memuji kerjasama ini dan menekankan kepentingan penglibatan industri dalam memperkukuh penawaran pelancongan negara.

“Kerjasama strategik seperti ini menunjukkan bagaimana sektor swasta dapat memainkan peranan penting dalam memperkayakan keseluruhan pengalaman pelawat. Dengan memperkenalkan destinasi runcit khas yang mengetengahkan produk dan budaya Malaysia, Watsons membantu mencipta tanggapan pertama yang mesra dan bermakna kepada pelancong yang tiba di negara kita,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Watsons Malaysia akan memperkenalkan beberapa aktivasi khas yang selari dengan kempen Visit Malaysia 2026, termasuk: pelancong antarabangsa akan menikmati keistimewaan membeli-belah eksklusif melalui inisiatif “One Pass” Watsons, yang membolehkan ahli Watsons dari seluruh dunia menikmati faedah seperti ahli tempatan di Malaysia. Promosi ini juga akan diselaraskan dengan kempen nasional seperti Malaysia Mega Sale, sekaligus menggalakkan perbelanjaan pelancong dan menyokong pertumbuhan sektor runcit tempatan.

Program One Pass Watsons membolehkan ahli Watsons Club menikmati pengalaman membeli-belah tanpa sempadan dengan menggunakan keahlian tempatan mereka ketika melancong ke luar negara. Melalui One Pass, ahli boleh menikmati harga eksklusif ahli, diskaun istimewa serta mengumpul mata ganjaran di cawangan Watsons yang mengambil bahagian di seluruh dunia, termasuk secara dalam talian, menjadikannya lebih mudah untuk terus menikmati ganjaran di mana jua mereka berada. Bagi memperkaya lagi pengalaman pelancongan mereka, Watsons telah memperkenalkan set cop perjalanan kreatif serta elemen interaktif yang boleh didapati di kedai Watsons terpilih. Inisiatif ini membolehkan para pengunjung mencipta kenangan yang unik dan bermakna sepanjang lawatan mereka di Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi kedai Watsons terdekat atau layari https://www.watsons.com.my/watsons-one-pass.

Caryn Loh, Pengarah Urusan Watsons Malaysia & COO Kesihatan & Kecantikan Asia, AS Watson Group, turut menyatakan penghargaan atas peluang untuk menyumbang kepada agenda pelancongan negara.

“Watsons Malaysia amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bermakna ini bagi menyokong Visit Malaysia 2026. Sebagai peruncit kesihatan dan kecantikan yang dipercayai, kami berbangga dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam mewujudkan destinasi runcit yang mesra dan mengalu-alukan pelancong yang tiba di Malaysia. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menampilkan sebuah destinasi sehenti bagi produk kesihatan dan kecantikan berkualiti, serta memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia dan inovasi pilihan jenama tempatan kepada para pelawat dari seluruh dunia.”

Beliau menambah, “Watsons kekal komited untuk melangkaui peranan runcit dengan menyokong inisiatif yang memperkukuh ekosistem pelancongan Malaysia sambil mencipta pengalaman yang bermakna kepada pelancong.”

Cawangan Watsons, khususnya di KLIA2, akan dihiasi dengan dekorasi perayaan, paparan budaya serta elemen interaktif yang diinspirasikan daripada warisan dan tradisi Malaysia yang kaya, sekali gus memberikan gambaran unik tentang identiti negara kepada para pelawat. Zon khas “Barangan Wajib Pelancong” akan mengetengahkan jenama kecantikan dan kesejahteraan tempatan, mempamerkan inovasi serta produk buatan Malaysia, dan memberi peluang kepada pelancong antarabangsa untuk menemui produk tempatan yang dibanggakan.

Selain itu, Watsons Malaysia akan memperluaskan kempen Visit Malaysia 2026 melalui rangkaian keahlian globalnya yang merangkumi lebih 170 juta ahli di seluruh dunia, sekaligus meningkatkan capaian promosi pelancongan Malaysia dan menggalakkan kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini.

Melalui kerjasama ini, Watsons Malaysia terus memperkukuh peranannya bukan sahaja sebagai peneraju runcit, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik, mesra dan bertaraf dunia.

Untuk maklumat lanjut, layari www.watsons.com.my atau memuat turun aplikasi mudah alih Watsons di Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.