Terkini | New

Pelancaran Projek ‘nasyid Friday’ – Kebangkitan Seni Dakwah Moden

Pelancaran Projek ‘nasyid Friday’ – Kebangkitan Seni Dakwah Moden


​Tarbiah Sentap Records secara rasmi memperkenalkan Nasyid Friday, sebuah projek muzik berimpak tinggi yang bakal bermula pada Jun 2026 sehingga Januari 2027. Di bawah pimpinan Adnin Roslan sebagai Pengarah dan Penerbit, inisiatif ini bertujuan melahirkan gelombang hiburan Islamik yang segar dan relevan bagi memenuhi keperluan rohani anak muda masa kini.

​Projek ini bakal menyaksikan pelancaran karya baharu pada setiap hari Jumaat, melibatkan lapan tunggak utama iaitu Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, serta kumpulan One Path, Rabithah, Fetya, The Truth, dan Autotune Band. Selain itu, penampilan istimewa selebriti tanah air seperti Saiful Apek, Anas Tahir, dan Alif Azhari turut akan menyemarakkan lagi pembikinan tiga daripada lapan album yang dirancang.

​Visi utama Nasyid Friday adalah untuk menyediakan alternatif hiburan berkualiti yang setara dengan industri arus perdana. Melalui gabungan elemen visual kreatif, media sosial, dan penceritaan yang menyentuh jiwa termasuk pengisian khusus mengenai perjuangan Palestin oleh kumpulan Fetya projek ini tekad membawa mesej ketuhanan ke dalam ekosistem kehidupan seharian masyarakat.

​Selain penerbitan lagu dan video muzik, Tarbiah Sentap turut mengukuhkan ekosistem dakwah ini dengan penghasilan 200 konten video, lapan sketsa dakwah setiap bulan, serta siri jelajah dan penerbitan buku di seluruh Malaysia. Nasyid Friday diharap menjadi pemacu kepada kebangkitan semula industri nasyid negara di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.