Global Ehsan Relief Umum Penganjuran Malam Dari Kasih ke Ehsan
Global Ehsan Relief Umum Penganjuran Malam Dari Kasih ke Ehsan
.jpg)
Global Ehsan Relief bakal menganjurkan makan malam amal Dari Kasih ke Ehsan bagi menghimpunkan para pendana, rakan strategik, peminat dan masyarakat yang menyokong usaha kemanusiaan organisasi itu. Program bakal berlangsung di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2026.
Makan malam itu bakal dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nasyid sohor, Inteam yang akan diselangi dengan penyampaian tausiyah bersama barisan duta Global Ehsan Relief Malaysia yang terdiri daripada Ustaz Hanafiah Abdul Malek, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin). Acara itu turut dihoskan oleh pengacara terkenal Fedtri Yahya sebagai usaha meraih dana bagi projek-projek kemanusiaan yang dirancang.
"Program ini bukan sekadar majlis makan malam amal semata-mata, tetapi ia dirancang sebagai satu pengalaman yang membawa para tetamu menyelami kisah-kisah kemanusiaan melalui perkongsian inspirasi di lapangan sambil berhibur dengan nasyid yang membawa mesej kasih sesama manusia," kata Pengarah Program, Suffi Shukor.
Tambahnya, Malam Dari Kasih ke Ehsan bertujuan mendana projek kemanusiaan dalam negara - Ehsan Lokal, Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk dan Projek Umrah Anak Yatim dengan sasaran setengah juta ringgit (RM500,000). Sasaran minimum itu mampu dicapai melalui penjualan tiket tempat duduk dan meja.
Penjualan tiket tempat duduk bermula 25 Jun 2025 di laman web www.darikasihkeehsan.com dengan harga individu bermula RM175. Manakala, bagi penjualan meja kepada syarikat korporat, agensi kerajaan dan rakan strategi bermula RM5,000 hingga RM25,000 dengan pelepasan cukai.
Program ini turut membawa mesej bahawa setiap rasa kasih dan prihatin harus diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi impak dan manfaat kepada mereka yang memerlukan. Ia merupakan satu seruan kepada masyarakat untuk menjadi sebahagian daripada usaha menyebarkan kebaikan dan memperkukuhkan semangat saling membantu. Inilah manifestasi dari kasih ke Ehsan.