Milolo Buka Cawangan Utama di Ombak KLCC, Lancar 'Blind Box' Menampilkan Bella Astillah
Milolo Buka Cawangan Utama di Ombak KLCC, Lancar 'Blind Box' Menampilkan Bella Astillah
Cawangan Ombak KLCC memperluas rangkaian runcit MILOLO kepada 11 cawangan di seluruh negara

Milolo mengumumkan pembukaan rasmi kedai konsep premium utamanya di Ombak KLCC, Presint KLCC, serta pelancaran Bella's Blind Box, iaitu antara salah satu koleksi blind box selebriti yang pertama di Malaysia. Ia dibangunkan hasil kerjasama dengan penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, Bella Astillah.
Pada hari Ahad, MILOLO telah mengadakan majlis di Ombak KLCC bagi meraikan pembukaan rasmi cawangan baharu itu dan pelancaran Bella's Blind Box, yang disaksikan oleh YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Pengerusi Pelancongan Malaysia, YBhg. Dato' Liew Bin, Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), serta Bella Astillah.

Dengan pembukaan MILOLO di Ombak KLCC, MILOLO terus memperluaskan kehadiran peruncitannya di pusat beli-belah utama dan lokasi bertrafik tinggi di seluruh negara, di samping membangunkan serta memanfaatkan konsep flagship dan pusat beli-belah berasaskan pengalaman seperti Ombak KLCC.
Sementara itu, pelancaran Bella's Blind Box menjadi titik tolak kepada kerjasama MILOLO yang lebih meluas bersama penghibur, artis, pencipta, dan pempengaruh Malaysia untuk mencipta Harta Intelek (IP) asli dan relevan yang menampilkan bakat tempatan.

Datuk Millan Lee, Pengarah Urusan dan Pengasas MILOLO, berkata, "Kami amat teruja untuk mengumumkan pembukaan kedai konsep premium pertama kami di Ombak KLCC. Kami memilih lokasi ini kerana kedudukannya yang strategik dengan keterlihatan yang tinggi, tepat di tengah-tengah Daerah Pusat Perniagaan Kuala Lumpur".
Ombak KLCC, dan secara amnya Presint KLCC, mempunyai profil pelanggan yang pelbagai termasuklah pengguna tempatan, pengumpul mainan seni, keluarga, dan pelawat antarabangsa. Ini memberikan peluang kepada kami untuk mempamerkan MILOLO di tahap yang lebih tinggi dan memperkenalkan IP Malaysia kami kepada khalayak yang lebih luas.



Walaupun cawangan biasa kami lebih tertumpu kepada kebolehcapaian dan kemudahan, Ombak KLCC direka khas untuk menjadi sebuah destinasi. Ia adalah satu tempat di mana pelanggan boleh meneroka dan merasai pengalaman Milolo, berinteraksi dengan watak serta IP kami, dan menyertai pelbagai aktiviti lebih daripada sekadar membeli blind box.
Pada akhirnya, kami melihat konsep ini sebagai model yang berpotensi untuk lokasi cawangan utama kami pada masa hadapan di Malaysia, dan seterusnya di luar negara. Kami juga amat berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran Bella's Blind Box, satu langkah penting dalam pengembangan portfolio IP kami, Ujar beliau lagi.

Kami mahu mengubah personaliti Malaysia sama ada penghibur, artis, pencipta, mahupun pempengaruh menjadi watak koleksi dan IP, yang mempunyai identiti visual, jalan cerita serta dunia produk mereka yang tersendiri. Kami percaya ini akan membuka peluang unik kepada bakat Malaysia untuk memasuki ekosistem koleksi mainan, di samping membolehkan kami membangunkan lebih banyak produk asli yang relevan dengan pasaran tempatan.


Bersama-sama pembukaan rasmi cawangan kami di Ombak KLCC, pelancaran Bella's Blind Box menandakan satu langkah besar menuju masa hadapan kami sebagai sebuah jenama. Kami sedang meneruskan transformasi kami daripada peruncit mainan koleksi jenama pihak ketiga kepada sebuah syarikat 'hiburan runcit kreatif' (creative retailtainment), lengkap dengan portfolio IP dan platform pengkomersialan kami sendiri."
"Apabila saya mula-mula mendengar idea untuk menjadikan saya sebagai watak koleksi, saya rasakan ia adalah satu konsep yang sangat menyeronokkan dan menarik. Tetapi, melihat Bella's Blind Box menjadi kenyataan pada hari ini menjadikannya terasa lebih istimewa.
Bella's Blind Box mewakili sisi saya yang berbeza sesuatu yang ceria, kreatif dan sesuatu yang boleh saya kongsikan bersama peminat saya. Saya juga sangat gembira kerana kerjasama ini dilakukan dengan jenama Malaysia, kerana saya percaya kita mempunyai begitu banyak bakat kreatif dan potensi di sini, di Malaysia. Saya berharap semua orang akan menyukai Bella's Blind Box sepertimana saya menikmati pengalaman menjadi sebahagian daripada perjalanan penciptaannya," Ujar Bella
Selain daripada pelbagai aktiviti yang menyeronokkan bagi pengumpul dan peminat mainan rekaan, majlis pada hari Ahad tersebut turut menampilkan sesi bergambar bagi peminat bertuah Bella Astillah. Beliau juga menyampaikan ucapan dan berkongsi tentang inspirasi di sebalik kerjasama IP dan blind box.