MENARA ASIA MELANCARKAN MENARABENA UNTUK MENTRANSFORMASIKAN PEROLEHAN BAHAN BINAAN
MENARA ASIA MELANCARKAN MENARABENA UNTUK MENTRANSFORMASIKAN PEROLEHAN BAHAN BINAAN
Platform digital menghubungkan kontraktor, pembekal dan pengilang, di samping membuka peluang pasaran baharu untuk produk pembinaan Malaysia.

Menara Asia Sdn. Bhd melancarkan MENARABENA, sebuah platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) digital yang direka untuk meningkatkan akses kepada bahan binaan, memudahkan proses perolehan serta menghubungkan pemain industri dengan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Disempurnakan pelancarannya oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia, MENARABENA mengintegrasikan keupayaan digital bagi perolehan, pemasaran produk, penyelarasan penghantaran dan penjejakan pesanan. Platform ini membantu kontraktor, pengilang dan pembekal mendapatkan maklumat produk, memperluas pilihan sumber bekalan serta meningkatkan keterlihatan rantaian bekalan.
Menara Asia dimiliki sebanyak 51% oleh Menara Rezeki, sebuah kontraktor Bumiputera bertaraf G7 CIDB yang terlibat dalam projek hartanah berprofil tinggi di Kuala Lumpur. Baki 49% kepentingan dalam Menara Asia dipegang oleh Mexajati Sdn. Bhd., yang berpangkalan di Sarawak dan merupakan pemegang saham strategik Menara Asia. Bersama-sama dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak, Mexajati menyasarkan untuk melaksanakan peluasan MENARABENA di Malaysia Timur.

“MENARABENA bukan sekadar sebuah pasaran digital. Kami mahu membantu pemain industri membuat keputusan perolehan yang lebih baik dengan mempertimbangkan bukan sahaja harga, malah kualiti produk, keperluan teknikal, maklumat pembekal dan keterlihatan penghantaran,” kata Dato’ Seri Saiful Nizam bin Mohd Yusoff, Pengerusi Eksekutif Menara Asia.
“Platform ini terbuka kepada seluruh industri pembinaan, merangkumi kontraktor G1 hingga G7, pengilang, pembekal dan pemaju. Ia direka untuk mewujudkan peluang perniagaan tambahan serta memperkukuh rantaian bekalan sedia ada, bukannya menggantikan pembekal tempatan. Visi kami merangkumi dua hala: memudahkan akses kepada produk dan teknologi antarabangsa yang bersesuaian untuk Malaysia, di samping membantu pengilang dan pembekal Malaysia menjangkau pasaran yang lebih luas. Keupayaan platform ini tersedia sejak pelancarannya dan akan terus dipertingkatkan berdasarkan keperluan industri serta maklum balas pengguna.”
KERJASAMA STRATEGIK DAN PEMATUHAN INDUSTRI
MENARABENA dilancarkan oleh Menara Asia, yang bekerjasama dengan CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) menerusi Memorandum Perjanjian (MoA). Kerjasama ini dibina berasaskan penglibatan industri yang lebih luas, termasuk Pusat Maklumat CIDBH di Shanghai yang dirasmikan pada 5 November 2025. Pusat ini membantu pengilang dan pembekal di Shanghai serta kawasan sekitarnya mendapatkan panduan dan bantuan berkaitan permohonan Sijil Kelulusan (Certificate of Approval, COA) dan Skim Pensijilan Produk (Product Certification Scheme, PPS) daripada CIDB Malaysia.
CIDB Malaysia akan terus melaksanakan peranan kawal selianya, termasuk memantau piawaian produk pembinaan, kelulusan dan keperluan pensijilan yang berkenaan. Penyertaan dalam MENARABENA tidak menggantikan sebarang kelulusan atau pensijilan yang diwajibkan di bawah peraturan yang berkuat kuasa.
MEMPERLUAS PELUANG TEMPATAN DAN ANTARABANGSA
MENARABENA menyediakan saluran tambahan kepada pembekal dan pengilang tempatan untuk mempamerkan produk mereka, menjangkau bakal pelanggan dan meneroka pasaran antarabangsa, sambil memberikan kontraktor akses kepada maklumat produk dan pilihan pembekal yang lebih luas.
Menara Asia sedang memperluas rangkaian perniagaannya di seluruh Malaysia. Menara Asia juga akan menyertai International Construction Week (ICW) & BuildXpo Malaysia 2026, yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 November 2026 di MITEC, bagi memperkenalkan bahan binaan dan penyelesaiannya kepada khalayak industri yang lebih luas.
Menara Asia menjemput kontraktor, pengilang, pembekal, pemaju dan peserta industri lain untuk meneroka MENARABENA serta berkongsi maklum balas bagi menyokong pembangunan berterusan platform ini.