Terkini | New

PRASARANA LANCAR KEMPEN ‘RAPID KL SUPPORT LOKAL 2.0’



Disemarakkan oleh semangat kejayaan sambutan memberangsangkan daripada kempen yang terdahulu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan kempen ‘Rapid KL Support Lokal 2.0’ untuk membantu operator dan para peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk hab-hab bas mempromosikan perniagaan mereka.


Majlis dilancarkan oleh Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah di sini hari ini, edisi kedua inisiatif berkenaan meluaskan lagi sokongan promosi saluran-saluran media sosial Rapid KL untuk turut meliputi para peniaga atas talian. 


Turut mensasarkan sokongan daripada media massa dalam kempen-kempen mereka, majlis pelancaran, yang diadakan di Stesen LRT Lembah Subang itu memperagakan pelbagai juadah dan hidangan makanan istimewa yang disediakan oleh peniaga-peniaga terpilih termasuk seperti Dapur Hasnah, Pak Syed Nasi Kuning, Strawberry Shots, Botoi Teh Thai, Sky Pastries, Batter Be Belle, Nina’s Kitchen, Kantin Pramugara, Qadra Kebab dan Mokti’s Ice Cream Gula Apong.




Berucap pada majlis berkenaan, Datin Hjh. Norlia berkata bahawa program hari ini adalah susulan program yang diadakan tahun lepas atas saranan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang berkunjung ke Prasarana pada 27 Jun 2020 dan meminta Prasarana menerokai langkah-langkah yang boleh diambil olehnya untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan wabak berkenaan.




Daripada perbincangan berkenaan, program ‘Rapid KL Support Lokal’ diperkenalkan sebagai sebuah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan Prasarana di mana Unit Media Sosial Kumpulan Prasarana menggunakan platform-platform media sosial kendaliannya mempromosi operator dan peniaga-peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk hab-hab bas.




Di bawah kempen berkenaan, pasukan Media Sosial Kumpulan Prasarana telah memberi liputan percuma dan promosi secara agresif dan percuma lebih 15 operator makan di saluran-saluran media sosialnya; menghasilkan lebih dua juta dalam ‘engagement reach’ media sosial dengan lebih RM800,000 dalam ‘PR Value’ bagi liputan publisiti mereka.


“Selain itu, lebih 1,000 peniaga atas talian atau ‘online food and beverage operators’ telah mengambil bahagian dan kesempatan untuk mengwar-warkan perniagaan mereka dalam bebenang promosi atau ‘promotional threads’ dan ‘instastories’ yang dicipta oleh pasukan Media Sosial Kumpulan Prasarana sepanjang tempoh lapan bulan kebelakangan ini.

“Sejak kempen itu dilancarkan, banyak lagi pemilik-pemilik perniagaan termasuk pengusaha makanan secara atas talian dan yang beroperasi dari rumah menghubungi pasukan media sosial Kumpulan Prasarana untuk membantu mereka. Menyahut permintaan ini, maka lahirlah program hari ini – ‘Rapid KL Support Lokal 2.0’, yang mana Kumpulan Prasarana khususnya Rapid KL berpeluang untuk memberikan sumbangan kepada operator bisnis-bisnis kecil dan menyokong inisiatif PENJANA.





 

“Bagi menghasilkan impak yang lebih besar, kempen ‘Rapid KL Support Lokal 2.0’ ini akan melibatkan penglibatan yang lebih besar daripada media massa, yang mana kami yakin juga mempunyai misi yang sama untuk membantu rakyat yang terkesan dengan impak COVID-19 ini,” kata Datin Hjh. Norlia, yang merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada sokongan media massa untuk program berkenaan.

“Amanah yang diberikan kepada kami di Prasarana bukan sekadar untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk keselesaan mobiliti dan kesinambungan (connectivity) kepada orang ramai; tetapi juga adalah untuk berkongsi platform, kepakaran dan sumber yang kami miliki untuk memastikan kesejahteraan keseluruhan untuk rakyat. 

 









Ini adalah cara dan pendekatan kami untuk memperkasakan konsep kongsi rezeki atau ‘shared prosperity’ bagi memastikan ekonomi untuk seluruh rakyat Malaysia dapat dibuka semula dan dikembangkan untuk kesejahteraan semua,”