Terkini | New

Surau Angkat SITI KHADIJAH Pertama Di AEON Mall Shah Alam.

Tahniah kepada Siti Khadijah dan AEON Mall bersama-sama menunaikan CSR atau tanggungjawab sosial korporat merupakan satu elemen penting dalam menilai komitmen sesebuah syarikat dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti di sekelilingnya.



Memandangkan Siti Khadijah (SK) berpegang teguh kepada nilai berkongsi rezeki, satu kolaborasi bersama AEON dimeterai bagi tujuan memberikan kemudahan kepada orang awam dalam bentuk kemudahan fasiliti solat yang lebih selesa.



Majlis perasmian telah dijalankan di AEON Mall Shah Alam, yang dirasmikan oleh wakil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad. Turut hadir ialah Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Siti Khadijah, Tuan Haji Ir. Aminuddin Mohd Nasir, Pengarah Eksekutif Jualan & Pemasaran Siti Khadijah, Mohd Munzir Aminuddin, dan Dr. Kasuma Satria, Ketua Pegawai Sumber Manusia & Komunikasi Korporat, AEON Group Malaysia.




Idea untuk program yang dirancang seawal Disember 2020 ini tercetus selepas melihat peluang untuk menambahbaik persekitaran serta suasana surau. Projek penambahbaikan surau awam ini disambut baik oleh pihak AEON, memandangkan hubungan baik yang sudah terjalin daripada kewujudan butik SK di sana. 

Projek yang kemudiannya dinamakan Surau Angkat SK ini dimulakan dengan memilih tiga lokasi untuk fasa percubaan - AEON Mall Shah Alam, AEON Mall Tebrau City dan AEON Mall Kota Bharu dan akan dipanjangkan ke lokasi lain seluruh Malaysia jika menerima sambutan yang menggalakkan.


Projek ini memberi ruang kepada SK untuk menjadikan surau terpilih sebagai surau angkat. Kos untuk penambahbaikan ditanggung oleh pihak SK sepenuhnya.






SK turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti telekung wakaf, ruang gantung tudung, meja solek dan cermin muka. Juga, pengelap untuk mensanitasi tempat sujud bagi tujuan pematuhan SOP.





Dengan penambahbaikan ini, diharapkan pengguna dapat merasakan sendiri pengalaman beribadah dalam keadaan yang lebih selesa, seterusnya mengajak pengguna untuk bersedekah untuk mengekalkan keselesaan tersebut kepada pengguna yang lain.

Untuk tahun 2021, SK telah melancarkan kempen #KitaAda. Kempen ini menggariskan tiga mesej utama - #KitaAda telekung paling selesa, #KitaAda hadiah paling bermakna dan #KitaAda telekung buatan orang kita.