Terkini | New

CelcomDigi dan ZK Racing bina generasi pelumba baharu ikut jejak Hakim dan Qabil

CelcomDigi dan ZK Racing bina generasi pelumba baharu ikut jejak Hakim dan Qabil


CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), menerusi platform Arena CelcomDigi, menjalin kerjasama dengan ZK Racing Team bagi menyokong MotoMini Malaysia, inisiatif pembangunan bakat akar umbi yang memberi tumpuan kepada pembentukan generasi baharu pelumba motosikal Malaysia. Melalui MotoMini Malaysia, kerjasama ini bertujuan menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi sukan permotoran sambil menekankan kepentingan pembangunan atlet secara berterusan menerusi latihan profesional dan pendedahan kepada pertandingan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen CelcomDigi dalam melahirkan juara masa hadapan dengan mewujudkan lebih banyak peluang untuk anak muda merealisasikan potensi dan cita-cita mereka dalam sukan.

Selaras dengan aspirasi Arena CelcomDigi untuk menghubungkan rakyat Malaysia melalui gaya hidup aktif dan sukan, kerjasama ini turut memperkukuh sokongan CelcomDigi terhadap bakat sukan permotoran tempatan seperti pelumba muda, Hakim Danish dan Qabil Irfan, yang telah mencipta nama di pentas antarabangsa. Melalui kerjasama ini, dua pelumba muda berpotensi akan dikenal pasti dan dibimbing dalam perkembangan kerjaya mereka. Mereka juga berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada Hakim dan Qabil menerusi sesi perkongsian dan bimbingan, termasuk pengalaman bersaing di peringkat tertinggi perlumbaan motosikal antarabangsa.

Menurut Ketua Jenama dan Perkhidmatan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling, "Kami percaya sukan mempunyai kuasa untuk menyatukan rakyat Malaysia di samping membuka peluang kepada bakat-bakat muda untuk mengejar impian mereka. Melalui kerjasama bersama ZK Racing Team dan MotoMini Malaysia, serta sokongan berterusan kami kepada pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan, kami berharap dapat menginspirasi lebih ramai anak muda untuk menerokai minat mereka dalam sukan permotoran dan membina keyakinan dengan potensi diri masing-masing. Kami komited membantu melahirkan bakat perlumbaan masa depan negara dengan menghubungkan mereka kepada peluang, pendedahan serta pengalaman yang diperlukan untuk terus maju dan mampu bersaing di pentas dunia."

Pengarah ZK Racing Team, Zulfahmi Khairuddin berkata, “MotoMini Malaysia diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelumba muda untuk belajar, bersaing dan berkembang sejak usia awal. Bersama dengan CelcomDigi, kami berharap inisiatif ini dapat menarik lebih ramai anak muda menyertai sukan permotoran serta memberi mereka pendedahan dan bimbingan yang diperlukan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia perlumbaan. Matlamat kami adalah untuk membangunkan barisan bakat yang lebih kukuh dan mampu bersaing dengan pelumba terbaik di peringkat antarabangsa."

MotoMini Malaysia merupakan platform penting bagi pelumba muda yang bercita-cita membina kerjaya dalam perlumbaan motosikal. Terbuka kepada peserta seawal usia enam tahun, program ini menyediakan laluan pembangunan yang tersusun bermula daripada perlumbaan peringkat akar umbi sehingga ke tahap yang lebih tinggi. Peserta turut berpeluang melangkah ke pentas antarabangsa seperti FIM MiniGP World Final di Valencia, Sepanyol.