Terkini | New

Edaran Pek KTMB Hari Raya Dan Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim

Edaran Pek KTMB Hari Raya Dan Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim


Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meneruskan program tradisi tahunannya selepas pandemik COVID-19 dengan mengedarkan 1,000 pek hari raya kepada para penumpang di Stesen KL Sentral. Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin. 


Sebanyak 500 pek diagihkan kepada penumpang perkhidmatan elektrik (ETS) dan 500 lagi kepada penumpang perkhidmatan KTM Komuter yang pulang ke kampung halaman. Pemberijan pek ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada para pengguna yang sentiasa menjadikan perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan mereka.


KTMB juga turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama di samping menyantuni anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Suci Rohani, Petaling Jaya serta rakan-rakan media.

“Kami amat berbesar hati untuk memberikan sumbangan duit raya dan vitamin SuperOla Immu B+ supaya anak-anak ini sentiasa kekal sihat dan cerdas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB.



“Majlis ini juga kami adakan bagi menghargai sokongan rakan-rakan media yang sentiasa menyokong dan mempromosi perkhidmatan KTMB di samping merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain,” tambahnya lagi.



Sempena sambutan hari raya pada tahun ini, KTMB turut memperkenalkan tren khas buat Keluarga Malaysia yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia yang akan membuat perjalanannya. Perkhidmatan ini akan beroperasi bagi laluan Pantai Timur yang bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya. Sebanyak 1,392 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas ini.

Beberapa hari selepas dilancarkan, tiket bagi laluan Kuala Lumpur - Tumpat telah habis dijual. Oleh yang demikian, kita telah menambah lagi tiga (3) KOC Superior yang boleh menempatkan seramai 180 orang penumpang, Terima kasih KTMB kerana menjayakan inisiatif tren khas ini sebagai alternatif yang memberi peluang kepada rakyat pantai timur untuk menaiki kereta api dan pulang ke kampung,” kata Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.


“Diharap perkhidmatan tren khas ini akan diteruskan setiap kali musim perayaan dalam usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam serta mengelakkan kesesakkan di jalan raya,” katanya lagi.

KTMB juga turut menawarkan dua (2) perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral — Padang Besar bagi tarikh 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei 2022 menjadikan ia 34 perkhidmatan sehari.


Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB. Pemegang tiket KTMB dinasihatkan untuk hadir ke stesen satu (1) jam lebih awal bagi memudahkan urusan pelepasan. Walaupun negara telah beralih ke fasa endemik, KTMB tetap akan memastikan semua penumpangnya mematuhi SOP yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama.



𝗘𝗗𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗞 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗥𝗔𝗬𝗔 𝗗𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗕𝗨𝗞𝗔 𝗣𝗨𝗔𝗦𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗔𝗡𝗔𝗞-𝗔𝗡𝗔𝗞 𝗬𝗔𝗧𝗜𝗠

KTMB mengadakan Majlis Edaran Pek Hari Raya Dan Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim di Stesen KL Sentral. Majlis diserikan oleh kehadiran Pengerusi KTMB, YBhg.Datuk Musa Haji Sheikh Fadzir dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Turut hadir, Ketua-Ketua Pegawai, barisan Ketua-Ketua Jabatan dan rakan media serta tetamu jemputan memeriahkan lagi majlis. Sebelum majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, sebanyak 1000 pek hari raya telah diberi kepada penumpang yang menaiki tren ETS EG9322 di pintu perlepasan B dan pemberian pek hari raya kepada penumpang yang menaiki tren Komuter di pintu perlepasan C.

Seramai 20 anak yatim dari Pusat Jagaan Sri Rohani telah diraikan dan turut diberikan sumbangan duit raya oleh Datuk Musa.