Rocketfuel Entertainment, Astro Radio & AXA Affin Life Insurance Berhad Mencipta Sejarah Dengan Lagu Tentang Kehidupan Pemuzik Malaysia Ketika Dilanda Pandemik COVID-19

Jun 05, 2022

Sebagai penanda berakhirnya pandemik COVID-19 untuk industri muzik tanah air, Rocketfuel Entertainment bersama Astro Radio dan AXA AFFIN Life Insurance Berhad telah bekerjasama untuk menerbitkan kisah “kehidupan norma baharu mengharungi pandemik” bagi dua pemuzik Malaysia – Adam Izzy & NADDI.

Malangnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada tahun 2020 telah menghancurkan impian dua anak seni ini. Cita-cita untuk menonjolkan bakat kepada para peminat muzik di seluruh negara melalui penerbitan album & jelajah konsert terpaksa dibatalkan.

Cabaran kehidupan PKP yang dihadapi kedua-dua pemuzik ini digambarkan secara puitis dalam lagu bertajuk “Hidup” yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Muzik video “Hidup” pula diarahkan dan diterbitkan oleh studio penerbitan terkemuka Creative Stew (M) Sdn. Bhd. yang juga merupakan Penerbit Kandungan untuk rangkaian global seperti HBO & Discovery TV.


Lagu ini digubah oleh penyanyi & penulis lagu veteran JFK yang jugak pernah menghasilkan karya untuk Sheila Majid, Anuar Zain, Erra Fazira, Dayang & ramai lagi. Beliau kini kembali ke industri muzik selepas hiatus bertempoh 15 tahun.

Penerbitan lagu dilakukan dengan kerjasama penerbit terkemuka Azlan Abu Hassan dari Grooveworks Studios, dan lirik pula ditulis oleh Zai KJ dari Malaysia dan Katya dari Indonesia. Bahagian rap pula ditulis sendiri oleh Adam Izzy.

Muzik video “Hidup” bermula dengan detik yang sukar dilupakan rakyat Malaysia iaitu pengumuman pelaksanaan PKP oleh Mantan Perdana Menteri. Babak seterusnya menunjukkan bagaimana Adam Izzy & NADDI masing-masing menghadapi PKP dengan sikap yang sangat berbeza.

Tujuan lagu ini diciptakan adalah untuk mewujudkan sebuah kapsul masa “kehidupan norma baharu mengharungi pandemik” untuk para pemuzik Malaysia generasi masa depan; untuk mereka mengenang kembali babak ini dan mengekalkannya sebagai detik penting dalam sejarah industri muzik tanah air. Lirik lagu ini juga ditulis untuk menyampaikan pengajaran bahawa sesiapa sahaja mampu mengharungi cabaran apabila mempunyai sikap dan sistem sokongan yang betul.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan tokoh-tokoh industry Media & Hiburan untuk mendorong persepsi yang lebih positif terhadap kesihatan mental, kecelikan kewangan, dan banyak lagi idea penambahbaikkan gaya hidup melalui www.letsgoforlife.com” kata Dr. Azlan Zainal, Ketua Pegawai Produk, Digital & Kerjasama di AXA AFFIN Life Insurance Berhad.

Kenny Ong, Ketua Pegawai Eksekutif di Astro Radio berkata: “Ini merupakan salah satu usaha kami untuk kekal sebagai perintis transformasi landskap audio tempatan. Kami teruja untuk berganding bahu bersama rakan-rakan industri yang sentiasa berinovasi untuk mengembangkan penglibatan audiens dengan media hiburan. Melalui idea kandungan yang dicipta khusus oleh Astro Radio, kami mengalualukan AXA AFFIN LIFE INSURANCE BERHAD untuk menyertai perjalanan memajukan pendigitalan bersama kami.”

“Kami sentiasa bersyukur diberi kepercayaan oleh rakan-rakan industri untuk merealisasikan cita-cita kreatif mereka. Komitmen kami terhadap penambahbaikkan perkhidmatan muzik melalui platform digital, televisyen, dan radio tidak terhad kepada pengedaran sahaja. Kami juga menawarkan perkhidmatan lengkap untuk artis indie yang memerlukan bimbingan dari langkah pertama hingga pasca-pelancaran. Kini kami teruja untuk menonjolkan pengalaman kami dalam penerbitan, pelesesanan, dan banyak lagi aspek melalui lagu ini (Hidup); perkongsian sebuah kisah yang menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia.” kata Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment.


“Hidup” oleh Adam Izzy & NADDI kini boleh didengar di semua platform penstriman dan juga saluran radio Malaysia bersama rakan pelancaran eksklusif ERA FM, stesen rangkaian ASTRO RADIO.

You Might Also Like

0 comments