Terkini | New

Yayasan Prihatin Cakna Kebajikan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh

Yayasan Prihatin Cakna Kebajikan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh


Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) komited meneruskan inisiatif membantu pelajar terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga yang kurang berkemampuan (B40), dengan pemeriksaan mata serta pemberian cermin mata percuma menerusi kerjasama bersama Bolton Optical Group Sdn. Bhd sempena Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia yang memanfaatkan kira-kira 869 pelajar.


Turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh Puan Nori Tun Abdullah (Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia) bersama ibu bapa dan pelajar Pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh dan penyerahan sumbangan bantuan wang tunai kepada ibu bapa pelajar serta penyerahan bantuan kelengkapan pembelajaran kepada seramai 110 pelajar Pendidikan khas yang terdiri daripada kategori seperti masalah pembelajaran, autism, sindrom down dan disleksia. 



Program Kami PRIHATIN ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh. Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 ini juga merupakan inisiatif & projek khas YAB Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk di kawasan pedalaman ataupun luar bandar.


Turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh Puan Nori Tun Abdullah (Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia)

Sekretariat JPKM akan menjelajah ke seluruh negara bagi Mencari, Mengenal dan Membantu pelajar yang merupakan anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan dari segi kewangan di seluruh negara.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, “Saya amat berbesar hati dan bangga melihat usaha sekolah ini dalam membantu anak-anak istimewa atau lebih dikenali sebagai pendidikan khas mendapatkan pendidikan yang sewajarnya dengan semangat jitu para guru. Saya dimaklumkan bahawa SK Sungai Buloh ini merupakan sekolah yang mempunyai pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang teramai di Selangor.



Namun begitu, bantuan serta sumbangan yang diterima bagi melestarikan pembangunan PPKI di SK Sungai Buloh masih kurang dan ini amat mendukacitakan hati nurani saya. Selaku NGO yang bergiat aktif dalam memperjuangkan pendidikan di Malaysia, saya berasa terpanggil untuk menyeru syarikat korporat, agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO di seluruh pelusuk tanah air untuk turut serta menyumbang dalam pembangunan PPKI.”, ujar beliau.



PRIHATIN melihat program kali ini mampu membantu dan mengurangkan beban anak-anak Sungai Buloh sekaligus mengurangkan beban ibubapa untuk membuat kaca mata dalam memudahkan proses pembelajaran dalam kalangan pelajar-pelajar dan memperkasakan pendidikan dengan pemberian bantuan kelengkapan pembelajaran bagi pelajar pendidikan khas serta bantuan wang tunai menerusi JPKM yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri.



-