Terkini | New

Bernostalgia Bersama Ada Apa Dengan Melly ? Pada 3 Februari 2023 Di Plenary Hall Kuala Lumpur

Bernostalgia Bersama Ada Apa Dengan Melly ?

Ada Apa Dengan Melly ? Tentulah yang bermain dalam fikiran peminatnya , beragam.


Tidak mahu peminat hanya berimaginasi tentang Melly , Iman Tang bersama Icon Entertainment dengan penuh bangga membawakan Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur sebagai sebuah  hadiah  paling ' mewah ' dalam meraikan muzik dari Indonesia .


Memilih tanggal 3 Februari 2023 sebagai detik pertemuan dengan pencintanya di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre , Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur juga adalah sebuah kembara seni 30 tahun yang akan divisualkan lewat konsert julung kali ini dari penghibur eksentrik bernama pentas Melly Geoslaw.



Ironi , memperkenalkan Melly , cukup dengan sepotong ayat ' Ada Apa Dengan Cinta ' . Seluruh peminat muzik yang lekas kembali mengait memori zaman 2002 . Sebuah filem yang meledak dengan untaian hit dari tangan magis wanita bernama Melly ini membekas dengan begitu dalam di hati pencintanya .Tentang Seseorang , Ada Apa Dengan Cinta , Ku Bahagia , Dimana Malumu dan Suara Hati Seorang Kekasih misalnya adalah untaian terbaik dari runut bunyi filem fenomena yang dihasilkan Melly .


Itu hanya sebahagian . Bagaimana pula apabila menyebut Jika , Ketika Cinta Bertasbih , Ayat Ayat Cinta dan Menghitung Hari , ia bukanlah lagu yang asing diputarkan di radio Indonesia ataupun tempatan . Menyanyikan bait liriknya sudah seperti darah yang mengalir deras bersama tubuh . Dan untaian lagu inilah yang sebahagiannya akan dipersembahkan dalam Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur pada 3 Februari 2023 depan .


" Seperti yang diketahui , Melly Geoslaw adalah satu nama yang cukup ikonik dalam dunia seni Indonesia dan tempatan dari segi penghasilan lagu , penulisan lirik atau pun nyanyian . " Sepanjang 30 tahun berkarya , Melly telah melalui pelbagai fasa dalam karier seninya dan karya yang dihasilkan untuk diri sendiri mahupun penyanyi lain , sangat jarang tidak membekas di ingatan .


" Justeru , saya dan Icon Entertainment berasa sudah cukup masa dan ' masak ' untuk menganjurkan Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur pada 3 Februari depan kerana saya percaya peminat juga sudah lama menantikan kehadirannya ke Malaysia .


"Konsert ini juga adalah sempena meraikan untaian karya yang bukan sahaja dinyanyikan Melly tetapi dihasilkan oleh beliau . Maka julung kalinya juga peminat akan menikmati lagu lagu seperti Ayat Ayat Cinta dan Menghitung Hari yang pernah didendangkan oleh Kris Dayanti dan Rossa misalnya , dalam versi penciptanya sendiri , " ujar Iman Tang dari Icon Intertainment .

Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur kelak tidak akan hanya menyaksikan persembahan Melly , tetapi konsert ini digahkan dengan buah fikiran Pengarah Muzik , Anto Hoed yang juga merupakan suaminya . Menurut Melly , beliau amat menghargai sokongan peminat di Malaysia yang menjadi salah satu satu faktor namanya harum di Nusantara .



" Jadi mengapa harus saya menolak pinangan Iman Tang . Anda semua akan menemukan jawaban dalam Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur pada 3 Februari 2023 ini saat hadir ke konsert saya . Akan ada banyak nostalgia dan persembahan serta perjalanan 30 tahun berkarier yang saya tuangkan dalam konsert ini kelak . Sampai jumpa ya , " ujar Melly teruja .

Tiket tiket Ada Apa Dengan Melly ? Live In Kuala Lumpur sudah boleh dibeli di www.ticket2u.com.my