Terkini | New

KGW GROUP BERHAD BUAT PENAMPILAN DI PASARAN ACE

KGW GROUP BERHAD BUAT PENAMPILAN DI PASARAN ACE

Kumpulan beri tumpuan kepada memperluaskan pangkalan pelanggan apabila berpindah ke Target Property di Glenmarie


KGW Group Berhad ("KGW" atau "Kumpulan"), penyedia perkhidmatan logistik yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan laut, udara dan perkhidmatan penghantaran barang serta pergudangan serta pengedaran produk dan peranti berkaitan penjagaan kesihatan, memulakan penyenaraian hari ini di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad ("Bursa Securities"), dibuka pada RM0.23 sesaham yang mewakili premium 9.5% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.21 sesaham.

KGW disenaraikan di bawah nama stok "KGW" dengan kod stok "0282".

KGW adalah penyedia perkhidmatan logistik aset ringan yang memenangi anugerah khusus dalam mengurus dan menyelaraskan pergerakan barangan dalam rantaian bekalan. KGW disokong oleh tiga anak syarikat, iaitu KGW Logistics (M) Sdn Bhd ("KGW Logistics"), Mattroy Logistics (Malaysia) Sdn Bhd ("Mattroy Logistics"), dan KGW Medica Sdn Bhd ("KGW Medica").KGW Logistics memberi tumpuan kepada kargo perkapalan ke dan dari Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran terbesar KGW manakala Mattroy Logistics mengendalikan penghantaran ke dan dari rantau lain di dunia. Sementara itu, KGW Medica mengkhusus dalam pergudangan dan pengedaran produk dan peranti berkaitan penjagaan kesihatan.

Kumpulan mengumpul sejumlah RM16.73 juta melalui IPO, di mana RM10.00 juta daripada hasil diperuntukkan untuk membayar balik pinjaman bank berhubung pembelian bangunan pejabat tiga tingkat pegangan bebas dengan gudang dua tingkat yang terletak di Glenmarie, Shah Alam ("Target Property"). RM2.00 juta diperuntukkan untuk pengubahsuaian Target Property. RM0.73 juta daripada hasil itu akan digunakan untuk tujuan modal kerja manakala baki RM4.00 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.


Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KGW, Yang Mulia Tengku Faizwa Binti Tengku Razif berkata, "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan KGW dan pasukan IPO DDWG atas kerja keras dan ketekunan mereka dalam membawa Kumpulan ke penyenaraian hari ini. Bagi pihak KGW, kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada pelanggan, rakan niaga dan pembekal yang telah menyokong kami selama ini."

Pengarah Urusan KGW, Dato' Roger Wong berkata, "Ini merupakan pencapaian penting bagi Kumpulan dan bukti sejauh mana kami telah datang sebagai perniagaan untuk menjadi penyedia perkhidmatan logistik terkemuka di Malaysia. Melalui penyenaraian ini, kami bukan sahaja mengukuhkan kejayaan kami, tetapi kami akan terus membina apa yang kami ada untuk membawa lebih banyak nilai kepada pihak berkepentingan kami."

Menurut laporan penyelidikan pasaran bebas dalam prospektus KGW, Kumpulan menjana pendapatan sebanyak RM228.0 juta daripada penglibatannya dalam industri logistik Malaysia, bersamaan dengan 0.37 peratus bahagian daripada jumlah saiz pasaran (KDNK) industri logistik di Malaysia sebanyak RM62.20 bilion pada 2022.

Laporan itu menyatakan bahawa industri logistik Malaysia diunjurkan mencecah RM66.25 bilion pada 2023 dan berkembang kepada RM87.57 bilion pada 2027, berkembang pada CAGR 7.1 peratus bagi tempoh ramalan. Secara khususnya, pasaran gudang dan penyimpanan di Malaysia dijangka mencecah RM2.58 bilion pada 2023 dan berkembang pada CAGR 8.2 peratus kepada RM3.59 bilion pada 2027.

TA Securities Holdings Berhad adalah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd adalah Penasihat Kewangan bagi IPO.


MENGENAI KGW GROUP BERHAD

KGW Group Berhad (“Kumpulan KGW” atau “Kumpulan”) terlibat terutamanya dalam perkhidmatan logistik serta pergudangan dan pengedaran produk dan peranti berkaitan penjagaan kesihatan. Di bawah perkhidmatan logistik, Kumpulan menawarkan perkhidmatan pengangkutan laut dan udara serta perkhidmatan penghantaran barang. Kumpulan KGW mempunyai pangkalan pelanggan yang pelbagai di seluruh dunia, memfokuskan terutamanya pada Malaysia, seluruh Asia dan Amerika Utara. Untuk maklumat lanjut, lawati https://www.kgwlogistics.com/