Terkini | New

100 MIYE 100 Memberi Pengiktirafan kepada 700 usahawan muda

100 MIYE 100 Memberi Pengiktirafan kepada 700 usahawan muda


Sepanjang tujuh tahun penganjuran, majlis anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE) telah memberi pengiktirafan kepada 700 usahawan muda yang paling berpengaruh di negara ini.

100 MIYE tahun ini bertemakan ‘Elevate’ sejajar harapan Pengerusi Penganjurnya, Datuk KK Chua yang mahu meningkatkan lagi pencapaian dan kejayaan di kalangan usahawan.


Pada majlis penganugerahan edisi kelapan ini, penganjur mahu meletakkan 100MIYE pada tahap yang lebih tinggi iaitu dengan menaik taraf pengetahuan, kemahiran dan corak pemikiran usahawan.

Bukan itu sahaja, menerusi majlis anugerah ini juga penganjur telah berjaya mewujudkan platform kepada usahawan daripada pelbagai kaum bagi memupuk silaturahim dan persahabatan di antara mereka.


Secara tidak langsung, ia membuktikan anugerah 100 MIYE bukan hanya satu pengiktirafan kepada usahawan tetapi turut menyediakan jaringan perhubungan bagi membantu membina hubungan yang kukuh dalam masyarakat perniagaan.

Cetusan idea untuk menganjurkan 100MIYE bermula dengan kejayaan majalah keusahawan iaitu Entrepreneur Insight yang kini adalah majalah keusahawanan terlaris di Malaysia. Entrepreneur Insight terbitan Armani Media Sdn Bhd dan selaku penganjur 100MIYE.

Datuk KK Chua berkata, setiap tahun daripada hampir 900 pencalonan yang diterima tetapi hanya 100 calon dibawa ke peringkat akhir.

“Kami meraikan usahawan muda yang sentiasa bekerja keras untuk berjaya, berani mengambil risiko, menjadi pemimpin dan majikan yang dihormati pekerja, memiliki sikap positif dan aktif melakukan aktiviti tanggungjawab korporat sosial (CSR),” katanya.



Tambah beliau, antara kriteria kelayakan pencalonan 100 MIYE adalah calon terbuka lelaki atau wanita yang berumur di bawah 45 tahun, Pengasas syarikat yang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat.

Selain itu, perolehan tahunan syarikat pula adalah sebanyak RM3 juta dan ke atas selama tiga tahun berturut-turut. Datuk KK Chua menjelaskan, pencalonan dibahagikan kepada 15 kategori antaranya dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembuatan.

“Bagi membantu usahawan menuju ke arah itu, kami akan mengadakan konvensyen usahawan Bumiputera untuk memberi lebih pendedahan kepada perniagaan mereka.

“Kami juga mahu menjadikan mereka komuniti yang saling membantu menerusi rangkaian hubungan (networking) masing-masing dengan bertukar pendapat bagi melahirkan idea baru,” katanya.



Mengulas lanjut, Chua menambah, sejak 100MIYE diadakan pada tahun 2016, anugerah itu tidak pernah gagal meraikan usahawan muda yang sentiasa bekerja keras untuk berjaya, berani mengambil risiko, menjadi ketua, pemimpin dan majikan yang dihormati pekerja.

Jelas beliau, semua kriteria yang disebutkan itu perlu ada dalam diri setiap usahawan kerana kejayaan itu bukan semata-mata berpaksi kepada dirinya sendiri tetapi sokongan daripada orang di sekelilingnya.



“Mereka juga pasti akan sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran baru dan persaingan. Hanya mereka yang mempunyai sikap yang betul, keazaman dan kesungguhan dalam perniagaan yang diusahakan akan beroleh kejayaan,” katanya.

Untuk rekod, terdapat kira-kira 3.2 juta pengusaha kecil dan sederhana (SME) di Malaysia. Daripada jumlah ini, hanya 100 usahawan akan dipilih untuk diberikan pengiktiran atas usaha mereka selama bergelar usahawan muda berjaya. Ini bermakna hanya terdapat 0.03% daripada majoriti komuniti usahawan yang bakal dipilih. Sekali gus meletakkan Anugerah 100 MIYE sebagai majlis anugerah berprestij di kalangan usahawan dan SME adalah tulang belakang ekonomi Malaysia.

KRITERIA KELAYAKAN PENCALONAN 100MIYE

Calon mestilah berusia 45 tahun dan ke bawah, terbuka kepada lelaki dan wanita. Beliau mestilah berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Urusan.

Berada di dalam pengurusan syarikat minimum dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat.

Syarikat mestilah mengusahakan perniagaan yang sah dan perolehan tahunan sebanyak RM3 juta dan ke atas.

Pada tahun ini Penaja Utama 100 MIYE adalah Affin Bank selaku penaja utama malam anugerah, penaja lain Sime Darby Property dan Agensi Media Rasmi Armani Entertainment Group.