Terkini | New

PRIHATIN DAN ROYALE CHULAN TERIMA SOKONGAN LUAR BIASA SEMPENA RECAP 2024

RECAP 2024 : PRIHATIN DAN ROYALE CHULAN TERIMA SOKONGAN LUAR BIASA

Royale Chulan Prihatin New Year's Eve (RECAP 2024) yang dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), dengan kerjasama Royale Chulan telah berlangsung dengan meriah di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. 


Majlis makan malam bertemakan "Glamorous Night" ini diadakan dengan tujuan mengumpulkan dana untuk program-program kebajikan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN). Dana yang terkumpul akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin dan akan digunakan untuk memperluas aktiviti dan program, termasuk bantuan pendidikan kepada pelajar cemerlang , bantuan kesihatan kepada yang memerlukan, bantuan dalam menghadapi musibah, serta bantuan kemanusiaan di Palestin.



Melalui konsep "Berhibur Sambil Beramal", majlis makan malam ini turut disajikan dengan persembahan daripada barisan artis terkemuka tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Shiha Zikir, Haziq Rosebi, Nizam Laksamana, Zarul Umbrella, Aliff Aziz dan Bella Astillah. Sambil berhibur, para tetamu juga dapat beramal dengan menghulurkan sumbangan yang akan disalurkan secara terus ke Tabung Kasih Prihatin bagi kegunaan program-program kebajikan Yayasan Prihatin Nasional pada tahun yang akan datang .




Menurut Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Encik Badrul Rezal Baharudin,“ Kerjasama antara PRIHATIN dan Royale Chulan ini dijalinkan bagi mengumpul dana sumbangan untuk disalurkan kepada Tabung Kasih Prihatin. Saya juga dimaklumkan bahawa penyumbang akan diberikan pengecualian cukai. Semua sedia maklum bahawa Royale Chulan amat mementingkan kualiti daripada segi servis, makanan dan sebagainya. 




Dan melalui RECAP 2024 ini, Royale Chulan dengan kerjasama dan bantuan daripada PRIHATIN yang pernah melakukan konsert berskala antarabangsa ini, para tetamu pasti akan menikmati majlis makan malam amal yang kami adakan ".



Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Yang Berbahagia Dato' Mohd Aizuddin Mohd Ghazali mengekspresikan kegembiraannya atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Royale Chulan kepada PRIHATIN. " PRIHATIN dan Royale Chulan telah banyak menjalinkan kerjasama, Cuma uniknya pada makan malam amal ini kami bawakan barisan artis terkemuka tanah air untuk mempersembahkan nyanyian lagu daripada kombinasi genre yang pelbagai khusus untuk para jemputan kerana penyumbang majlis makan malam amal ni terdiri daripada kategori badan korporat, para peminat artis jemputan yang mempunyai minat terhadap genre muzik yang pelbagai, dan sebagainya. 



Jadi melalui RECAP 2024 ini, kami ingin memberikan kelainan dengan mengumpulkan barisan artis daripada genre pelbagai untuk menghiburkan para jemputan yang hadir.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada organisasi-organisasi yang turut serta serta para penyumbang yang dengan ikhlas menyumbangkan sokongan pada malam ini. Usaha dan sokongan padu daripada syarikat korporat dan NGO adalah kekuatan yang amat PRIHATIN hargai dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan, terutamanya dalam bidang pendidikan dan kebajikan, " ujar beliau. 




Seperti yang diketahui oleh semua pihak, PRIHATIN sentiasa berusaha secara proaktif dalam melaksanakan program kebajikan. Fokus utama PRIHATIN adalah untuk memperkasa dunia pendidikan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di persada dunia. PRIHATIN komited untuk memastikan bahawa golongan yang kurang berkemampuan tidak terpinggir dari menerima bantuan yang sepatutnya. 


Alhamdulillah, PRIHATIN telah membantu lebih daripada 2,000 orang mahasiswa yang kurang berkemampuan, dan inshaaAllah kami berhasrat untuk menyasar lebih ramai lagi penerima manfaat melalui dana yang disumbangkan, tanpa mengira bidang seperti pendidikan, bencana alam, musibah, dan sebagainya pada tahun 2024. Hasil sumbangan yang diterima melalui organisasi korporat dan badan-badan NGO akan dipertanggungjawabkan melalui Tabung Kasih Prihatin, dan akan disalurkan untuk menyokong pelaksanaan program program kebajikan PRIHATIN, " ujar beliau.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.yayasanprihatin.com