Terkini | New

Juara TVET Serantau Dinobatkan di Majlis Penutup ASEAN TVET Friendly Match 2025

Juara TVET Serantau Dinobatkan di Majlis Penutup ASEAN TVET Friendly Match 2025


ASEAN TVET Friendly Match 2025 melabuhkan tirainya hari ini dengan pengumuman rasmi para pemenang yang telah menunjukkan kemahiran cemerlang dalam sembilan bidang utama berkaitan sektor kemahiran vokasional. Majlis Penutupan yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, WTC Kuala Lumpur, menghimpunkan pemimpin kerajaan, pakar teknikal, wakil industri serta peserta dari 12 negara.


Acara ini menjadi kemuncak kepada empat hari pertandingan yang penuh dengan semangat, pembelajaran dan kerjasama serantau. Seramai 40 peserta muda dari 12 negara termasuk Negara-Negara Anggota ASEAN dan negara jemputan dari Asia telah bertanding dalam persekitaran berintensiti tinggi yang direka untuk menepati piawaian antarabangsa mengikut WorldSkills Occupational Standards (WSOS). Acara ini menjadi batu loncatan yang penting menjelang Pertandingan WorldSkills ASEAN Ke-14 di Manila dan WorldSkills Asia Ke-3 di Taipei.





Para peserta diuji dalam sembilan bidang kemahiran iaitu: 

Penerapan Bata (Bricklaying).
Pendawaian Elektrik (Electrical Installations).
Pertukangan Kabinet (Cabinet Making).
Pertukangan Kayu (Carpentry).
Paip dan Pemanasan (Plumbing and Heating).
Penyejukan dan Penyaman Udara (Refrigeration and Air-Conditioning).
Kimpalan (Welding).
Pembinaan Digital (Digital Construction).
Rekabentuk Kejuruteraan CAD (Mechanical Engineering CAD).

Lokasi pertandingan melibatkan ABM Wilayah Tengah, Pusat Latihan FITEC, CIDB Technologies, dan MYBIM Centre, yang dilengkapi kemudahan bertaraf industri. Penilaian dilakukan oleh panel juri terdiri daripada pakar bertauliah WorldSkills dan penilai industri yang berpengalaman, berdasarkan ketepatan teknikal, kelajuan, pematuhan keselamatan dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam tempoh masa yang ditetapkan.



Setinggi-tinggi penghargaan turut dirakamkan kepada penaja tempatan yang telah memberikan sokongan padu dalam menjayakan program ini. Sumbangan mereka bukan sahaja menyokong aspek logistik dan penganjuran acara, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta di peringkat tempatan.





Peranan Malaysia dalam menerajui penganjuran ASEAN TVET Friendly Match ini turut mencerminkan visi strategik negara dalam membentuk ekosistem TVET yang berorientasikan industri, diharmonikan di peringkat serantau dan berdaya saing di peringkat global, sejajar dengan aspirasi Inklusiviti dan Kelestarian di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.




Penganjuran ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku penganjur utama dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai rakan pelaksana utama. 



Edisi kali ini amat signifikan kerana ia merupakan kali pertama pertandingan TVET peringkat serantau memberi fokus khusus kepada kemahiran berkaitan sektor pembinaan, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh profil sektor pembinaan dalam ekosistem TVET.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web: www.cidb.gov.my

####

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) dengan mandat untuk membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan negara. Fokus utamanya adalah meningkatkan kualiti dan produktiviti melalui penekanan terhadap profesionalisme, inovasi, dan pengetahuan ke arah meningkatkan kualiti hidup untuk semua.