Terkini | New

Panggung Purnama Tampilkan Bilal Indrajaya Sebagai ‘Peluru Perdana’ Bakal umum artis fasa kedua dan fasa finale kelak

Panggung Purnama Tampilkan Bilal Indrajaya Sebagai ‘Peluru Perdana’ Bakal umum artis fasa kedua dan fasa finale kelak


Seperti bulan penuh di langit malam, begitulah penganjuran Panggung Purnama yang menampilkan sosok penyanyi handalan di belantika muzik Nusantara.

Dengan bangga juga, penganjur, UdaraLaskhar memperkenalkan penghibur Panggung Purnama sebagai ‘hidangan pemanas’ konsert yang dijadual berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.


Mengumumkan penyanyi Bilal Indrajaya atau nama sebenarnya, Bilal Ahmad Indrajaya sebagai pengisi Panggung Purnama, UdaraLaskhar menyifatkan ia sebagai pemilihan sempurna buat peminat tanah air yang ingin bertatap dan menikmati karya karyawan seni kelahiran Jakarta itu.

Buat peminat, nama Bilal Indrajaya bukan asing. Mereka mempunyai ‘lagu kebangsaan’ sendiri sejak Biar dirilis pada tahun 2018. Telah tampil di beragam festival muzik termasuk BNI Java Jazz Festival 2024, tentu sahaja penampilan Bilal di Panggung Purnama akan membuat peminat tidak sabar mendengar lebih banyak karya terbaiknya.


“Kami di UdaraLaskhar begitu teruja membawa Bilal Indrajaya sebagai penghibur Panggung Purnama pada 28 September di Zepp Kuala Lumpur. Kami percaya kepada magnet Bilal daripada penampilan sehingga karya yang telah membuat ramai peminat kecanduan serta terus ingin menikmati lagu-lagu beliau secara langsung. Dan kami realisasikan mimpi serta permintaan peminat menerusi penampilan sulung Bilal dalam Panggung Purnama pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur nanti,” ujar John Labu mewakili penganjur UdaraLaskhar.



Menurut John Labu lagi, Bilal menepati kriteria tepat untuk memulakan Panggung Purnama kerana konsep konsert yang telah difikirkan sejak sekian lama. Manakala pengumuman fasa dua dan fasa finale akan dibuat secepatnya. Para peminat muzik hanya perlu menunggu dan mendapatkan informasi terkini di laman sosial Panggung Purnama.

“Bilal seperti ‘bulan’ yang terang dan memberi sinar dari atas panggung menerusi karya-karyanya kepada peminat. Malah Bilal sebenarnya sangat dekat dengan peminat di Malaysia terutama menerusi kolaborasi bersama Noh Salleh dengan Niscaya. Ada juga lagu Ruang Kecil dan Yang Tercinta bersama Romantic Echoes yang sudah menjadi ‘siulan’ peminat.

“Jadi kami yakin Bilal Indrajaya akan meninggalkan kesan tersendiri di Panggung Purnama. Dan bakal menambahkan keserian Panggung Purnama kelak adalah artis-artis yang diumumkan kelak,” ujar John secara metafora.



Pelantun Dara yang memulakan karier dengan memetik gitar ini juga tidak sabar untuk menghiburkan dan berpesta dengan peminat di Panggung Purnama di Zepp Kuala Lumpur pada 28 September 2025 ini.

Bagi Bilal, 29, Panggung Purnama akan menjadi festival peribadi buat dirinya dan peminat yang sentiasa mendukung langkahnya sebagai karyawan seni. Jika Bilal Indrajaya tidak sabar bertemu anda, sanggupkah anda membiarkan penyanyi ini ternanti-nanti?




Jadi dapatkan tiket dengan kategori Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399) boleh diperoleh menerusi www.ilassotickets.com. Melepaskan peluang membeli tiket Panggung Purnama seperti menolak lamaran ‘cinta’ Bilal Indrajaya yang penuh karisma.