Terkini | New

KHADAM Filem seram terbaru lakonan bintang ternama Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan bintang dari Indonesia, Aghniny Haque.

KHADAM Filem seram terbaru lakonan bintang ternama Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan bintang dari Indonesia, Aghniny Haque.


Dalam sebuah pertemuan media khas hari ini, dua syarikat produksi Malaysia yang ternama Red Communications dan Komet Productions telah bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah filem seram yang mendebarkan berlatarbelakangkan Malaysia era 1950-an. Khadam menjanjikan gabungan kisah mistik Nusantara, beserta penceritaan sinematik yang menyeramkan melalui watak-watak penuh makna dan emosi.


Mengemudi kolaborasi rentas sempadan ini adalah barisan pelakon hebat, diterajui oleh Aghniny Haque, ratu filem seram Indonesia (KKN Desa Penari, Pemandi Jenazah), bersama Remy Ishak, idola layar Malaysia (The Experts, Pulang, Sangkar) dan bintang yang meningkat naik, Siti Khadijah Halim.(From Saga With Love, Ash & Aish). Melalui kepakaran penceritaan yang telah terbukti berdasarkan penghasilan filem-filem ikonik mereka sebelum ini (Istanbul Aku Datang, Kami The Movie, Songlap).



Red Comm terus melangkah berani dengan menembusi genre seram-serius melalui Khadam, bersama Komet sebagai rakan kandungan yang dipercayai. Komet adalah sebuah syarikat produksi Asia Tenggara dengan rekod cemerlang (Penerbit Eksekutif Blood Brothers Bara Naga, Ejen Ali The Movie 2, Siksa Kubur).

Projek ini telah berjaya menarik perhatian syarikat produksi antarabangsa dan pelabur luar termasuk Sil Metropole (Hong Kong) dan Applause Entertainment (India). Penglibatan mereka membuktikan permintaan tinggi terhadap filem genre Asia Tenggara yang berkualiti serta berakar dalam budaya tempatan. Projek ini juga mendapat sokongan dari FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).


Filem ini bakal diarahkan oleh Shamyl Othman, pengarah filem seram blockbuster Malaysia tahun 2023, Rahsia. Skrip serta lakon layar ditulis oleh Fariza Azlina Isahak, penulis prolifik di sebalik KAMI The Movie dan Songlap, dua karya yang diraikan kerana berjaya menangkap semangat zaman generasi mereka.

Khadam mengisahkan tentang Melor yang selepas kematian ibunya terpaksa mewarisi saka keluarga pewarisan spiritual gelap dan mistik. Apabila saka itu mulai menguasai hidupnya, Melor terdesak berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada mewarisi entiti hitam tersebut.

Khadam bukan hanya sebuah filem seram. Ia adalah sebuah penerokaan penuh emosi tentang cabaran keibuan dan pilihan yang harus diambil oleh seorang wanita yang hidup dalam desakan dunia, berpaksikan mitos serta budaya Asia Tenggara. Kisah ini digarap halus dengan penceritaan yang seram dan mendebarkan.

Kerjasama antara dua syarikat produksi ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh industri perfileman tempatan dengan menghimpunkan sumber, bakat dan visi bagi mengangkat filem seram Malaysia ke pentas serantau. Dengan penyertaan pelakon dari negara jiran, filem ini diharap dapat membuka peluang untuk menembusi pasaran penonton yang lebih luas di seluruh Asia Tenggara.

Penggambaran akan bermula pada pertengahan September 2025 dan dijangka akan menemui penonton di pawagam seluruh negara dan pasaran serantau terpilih tahun 2026. Filem ini juga akan dibintangi oleh Jun Lojong, bersama pelakon kanak-kanak adik-beradik Zarra Zhaff and Karl’El.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila ikuti perjalanan KHADAM di Instagram dan Tiktok
@khadamthemovie | @redcommfilms | @komet_productions