Terkini | New

Makan Malam “Saya Anak Malaysia” Menghargai Ikon Seni, Dakwah & Patriotisme

Makan Malam “Saya Anak Malaysia” Menghargai Ikon Seni, Dakwah & Patriotisme


Program Makan Malam “Saya Anak Malaysia” diadakan sebagai satu inisiatif Presiden Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) yang juga Presiden Persatuan IRAMA, Ayob Abd Majid untuk meraikan dan menghargai jasa besar Ayahanda Dr Sam Rasputin, penyanyi dan pencipta lagu patriotik terkenal, Saya Anak Malaysia.



Lagu patriotik nyanyian Salim Ibrahim, 72, atau lebih dikenali sebagai Dr Sam "Saya Anak Malaysia" terus segar merentasi generasi, apabila rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat masih menghayati lagu itu sebagai lambang kasih dan bangga menjadi warganegara Malaysia.




Hampir 39 tahun, lagu ini terus berkumandang setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, menjadi suara keramat yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di bawah semangat Malaysia Madani. Dr Sam bukan sahaja seorang seniman, tetapi juga ikon dakwah dan patriotisme yang telah mewakafkan bakatnya untuk masyarakat dan negara.


Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid, berkata,“Saya pernah mencadangkan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, sewaktu beliau berada di luar kerajaan, agar diwujudkan satu program rasmi kerajaan untuk menghargai jasa Dr Sam. Bagi saya, penghargaan seharusnya diberikan ketika beliau masih ada, bukan selepas pemergiannya. Beliau sudah terbukti berjasa dan wajar dianugerahkan pengiktirafan tertinggi, termasuk gelaran Datuk’.”




Menurut Dr Sam, dia cukup terharu setiap kali melihat rakyat Malaysia bersama-sama mendendangkan lagu itu dengan sepenuh jiwa, apabila mendengar ia dimainkan.

“Syukur pada Allah. Saya terharu melihat bukan orang Melayu sahaja boleh menyanyikan lagu ini, tetapi masyarakat Cina dan India juga boleh menyanyi bersama-sama. Dr Sam mengakui tidak pernah terlintas bahawa lagu gubahan komposer tersohor Datuk M. Nasir dengan lirik tulisan S. Amin Shahab pada 1986 itu, akan terus segar sebagai identiti patriotik rakyat Malaysia."




Kenangan paling manis bagi beliau, semasa lagu itu buat pertama kali dipersembahkan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan seluruh dewan bergema dengan nyanyian penuh semangat menjelang Hari Kebangsaan.

"Kekuatan lagu itu terletak pada melodi yang ringkas dan lirik mudah diingati, menjadikan lagu tersebut dekat dengan hati rakyat tanpa mengira usia atau bangsa. Satu dewan bergema masa itu... memang saya tak boleh lupa waktu itu. Bila dengar lagu ini, semua orang rasa mereka sebahagian daripada keluarga besar bernama Malaysia. Ini yang membuatkan saya bangga," katanya sambil tersenyum mengingati detik manis tersebut.





Selain lagu Saya Anak Malaysia, Dr Sam juga popular dengan lagu, Abu Nawas, Sayang Oh Sayang, Semarak Merdeka dan Sinar Harapan

Kini, Dr Sam yang pernah membintangi filem Mekanik, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan ini memilih untuk menumpukan masa kepada pengajian agama dan dakwah, berharap lagu itu terus menjadi pengikat rasa cinta kepada tanah air dan menjadi jambatan perpaduan antara rakyat.





Program makan malam ini bukan sahaja meraikan Dr Sam sebagai Ikon Saya Anak Malaysia, malah menjadi wadah untuk mengenang jasa seniman-seniman tanah air yang telah menyumbang kepada negara melalui seni suara, budaya, dan perjuangan dakwah.




Selain Dr. Sam, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Mel Ex Wings, Iwan Syahman dan Kodan Raja Lawak.