Syria Care Lancar Humam Relief, Perluas Misi Kemanusiaan Malaysia Ke Peringkat Global
Syria Care Lancar Humam Relief, Perluas Misi Kemanusiaan Malaysia Ke Peringkat Global
Syria Care hari ini mengorak langkah penting dalam sejarah perjuangan kemanusiaan apabila melancarkan Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief, sebuah organisasi baharu yang berperanan memperluaskan misi kemanusiaan Malaysia ke peringkat global, termasuk tanah air sendiri.
Menurut Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, HUMAM Relief lahir pada tahun 2024 daripada pengalaman, pengorbanan dan kejayaan Syria Care yang telah berkhidmat lebih sedekad di bumi Syam.

Katanya, HUMAM Relief diwujudkan dengan visi lebih luas bukan sahaja memberikan bantuan kecemasan, tetapi membina masa depan yang lebih mampan dan bermaruah untuk masyarakat rentan di seluruh dunia.
“HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’, tetapi dengan mandat yang lebih luas, ia akan berperanan sebagai ‘abang’ kepada Syria Care. Syria Care akan terus fokus kepada bumi Syam,
manakala HUMAM Relief membawa pengalaman itu ke peringkat global.
“HUMAM Relief percaya bahawa setiap bantuan mesti menghormati identiti, budaya dan maruah komuniti yang dibantu, supaya mereka bukan sekadar hidup tetapi hidup dengan martabat,” kata Siti Sakinah dalam ucapannya.



Walaupun baharu setahun berdaftar, HUMAM Relief telah mula menjejakkan kaki ke beberapa negara dengan projek-projek awal seperti pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah-rumah rosak akibat konflik di Syria, serta projek W.A.S.H (Air, sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia berkaitan Inisiatif Kebersihan Wanita dan Kesihatan Haid dan kepentingannya melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan badan-badan korporat.
“Ini hanyalah langkah permulaan. Kami mahu melihat HUMAM Relief berkembang menjadi antara peneraju misi kemanusiaan dengan projek-projek mampan di Malaysia dan seterusnya di peringkat antarabangsa, di mana komuniti rentan dan terpinggir mampu membina semula kehidupan dan memperbaiki taraf hidup melalui inovasi, pemerkasaan dan penyelesaian mampan, insya-Allah,” ujar Siti Sakinah.

Majlis pada hari ini turut menyaksikan pelancaran logo baharu Syria Care, yang melambangkan aspirasi baharu dan perjalanan organisasi yang semakin matang.
Sejak lebih 10 tahun lalu, Syria Care bukan sahaja dikenali dengan bantuan kecemasan di Syria, malah turut mengorak langkah dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan yang berimpak.
Dengan wajah baharu ini, Syria Care melakukan transformasi dengan memperluas fokus kepada pembangunan jangka panjang yang menekankan kelestarian, maruah, dan harapan untuk komuniti rentan.


Ditubuhkan pada 2012, Syria Care bermula daripada sebuah bilik kecil oleh sekumpulan sukarelawan dan bekas pelajar Syria di Malaysia. Diterajui pengasasnya, Sheikh Samir Sakka, Syria Care berkembang daripada usaha kecil menjadi sebuah NGO kemanusiaan
yang meninggalkan kesan besar.
Misi pertamanya pada tahun 2013 sudah diuji dengan tragedi apabila seorang petugas ditembak ketika menjalankan tugas, namun peristiwa itu hanya menguatkan lagi tekad untuk meneruskan perjuangan.



Setahun kemudian, Syria Care didaftarkan secara rasmi, menjadi NGO pertama di Malaysia
yang ditubuhkan khusus membantu krisis kemanusiaan di Syria. Antara pencapaian besar Syria Care termasuk projek perumahan Kampung Malaysia di Idlib, yang menempatkan 274 keluarga dari khemah ke rumah selamat; penajaan hampir 6,000 anak yatim sepanjang lebih sedekad; pembinaan 19 sekolah, termasuk sekolah khas anak yatim di Aqrabat; rumah anak yatim dan warga emas Dar As Sakinah di Jisr Al Shughur; serta bantuan kepada hampir 6 juta penerima manfaat di Malaysia, Syria, Türkiye, Lubnan, Afghanistan, Uganda, Yemen, Nepal dan selatan Thailand.



Selain itu, Syria Care juga menjadi NGO Malaysia pertama yang didaftarkan secara rasmi di Syria, membolehkan ia menyalurkan bantuan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Dengan kehadiran HUMAM Relief, Syria Care kini berperanan lebih fokus di bumi Syam iaitu
Syria, Palestin dan Lubnan, manakala HUMAM Relief menjadi sayap global untuk memperluaskan capaian bantuan. Kedua-duanya digerakkan oleh pasukan yang sama, dengan semangat yang sama iaitu semangat kemanusiaan.

Siti Sakinah juga dalam ucapannya menegaskan bahawa perjuangan ini tidak akan ke mana tanpa sokongan rakyat Malaysia. “Perjalanan lebih sedekad Syria Care membuktikan bahawa setiap doa, sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia mampu mengubah kehidupan insan-insan lain. HUMAM Relief adalah kesinambungan daripada kekuatan ini. Misi ini bukan milik Syria Care atau HUMAM Relief semata-mata, tetapi milik kita semua sebagai manusia yang diamanahkan untuk membela manusia lain,” katanya.

Mengenai Syria Care
Syria Care adalah NGO pertama yang menggabungkan rakyat Syria dan Malaysia di dalam sebuah organisasi untuk memenuhi keperluan semasa rakyat Syria, terutamanya mereka yang berada di dalam negara itu dan tidak lupa juga bagi membantu meringankan beban rakyat Syria yang berlindung di negara jiran yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Syria Care atau ikuti saluran media sosial kami bagi perkembangan terkini. Siaran media ini dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Dana Syria Care, sebarang pertanyaan lanjut atau urusan media boleh diajukan kepada Puan Roza Suranti Romli di talian 011-4014 2567 / 03-5523 4077 atau e-mel ke pr@syriacare.org.my / partnership@syriacare.org.my