Terkini | New

Pencipta Lagu Legenda Edrie Hashim Tonjol Emosi Vokal Ary Hussin Bagi Single Perdana - Luka Terpaling Dalam

Pencipta Lagu Legenda Edrie Hashim Tonjol Emosi Vokal Ary Hussin Bagi Single Perdana  - Luka Terpaling Dalam


Selepas tular di  Dunia media sosial kini Muhammad Hadzri Hussin tampil di khalayak ramai melalui vokal hebat yang dimilikinya. Nama pentas beliau sebagai Ary Hussin sudah membuktikan dirinya punya pengikut tersendiri di platform media sosialnya.


Ary Hussin tidak lagi perlu mendendangkan lagu milik penyanyi lain di gerai burger seperti sebelum ini sebaliknya dia boleh memilih di pentas besar atau kecil dalam majlis hiburan mana yang ingin disertai untuk mendendangkan lagu sendiri. Lebih bertuah, bakat nyanyian Ary Hussin diperkukuh dengan arkitek muzik terkenal tanah air, Edrie Hashim yang menjadi tulang belakang penghasilan single perdana yang diberi judul Luka Terpaling Dalam.



Dan sempena pelancaran single perdananya ini, ini merupakan kali pertama Muzik Video dipertontonkan dan dendangan perdana oleh Ary secara eksklusif diadakan di hadapan para media. Malah Ary juga pertama kali melihat hasil muzik video rasmi yang diarahkan oleh En.Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment. Pihak A7 mula berminat dengan bakat dan komitmen Ary sejak Program Astro iaitu Gimme The Mic pada 2024 dan mula merangka konsep yang bersesuaian, sebelum menawarkan kontrak sulung A7 kepadanya pada awal 2025 dab Ary merupakan artis rakaman sulung A7 Empire dan A7 Entertainment.



Menerima sentuhan sepenuhnya daripada Edrie ; selaku komposer dan penulis lirik, Luka Terpaling Dalam menampilkan kekuatan vokal Ary Hussin dalam balutan melodi pop balada yang sangat ‘pekat’ Malaysia-nya.



“Luka Terpaling Dalam saya hasilkan mengikut ciri khas Ary Hussin iaitu kekuatan vokalnya yang cukup kaya dengan bunyian Melayu. Ada sedikit rasa ‘klasik’ tetapi tetap segar sesuai dengan cita rasa masa kini. Single ini berkisah tentang emosi dan patah hati menerusi liriknya tetapi ia menjadi sinematik dengan susunan permainan strings dan piano yang menjadikan Luka Terpaling Dalam bersifat kontemporari,” ujar Edrie Hashim.




Sementara itu buat Ary Hussin, memiliki single sendiri dan dihasilkan oleh Edrie Hashim, salah seorang legenda muzik merupakan sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. Tawaran menjadi seorang penyanyi profesional hadir pada usia yang tidak lagi muda.

“Memiliki single sendiri berjudul Luka Terpaling Dalam adalah lembaran sejarah yang tidak pernah saya mimpi akan terjadi dalam hidup. Apa lagi ia dihasilkan oleh legenda yang sangat saya segani, Edrie Hashim. Saya hilang kata-kata namun saya bersyukur kerana bakat dan suara saya dinilai sebagai berkualiti serta mampu diketengahkan dalam industri muzik kita. Besar harapan saya, Luka Terpaling Dalam mendapat tempat di hati peminat kerana ia merupakan sebuah single berkualiti, bukan hanya kerana saya sebagai penyanyi tetapi keseluruhan karya ini dikerjakan dengan sangat cermat demi memenuhi kehendak pasaran pada masa kini,” ujar Ary Hussin.


“Harapan kami agar Luka Terpaling Dalam diterima dan diraikan pendengar sebagai sebuah karya baharu yang hadir memeriahkan industri muzik tempatan. Tanpa penghasilan karya-karya baharu meski dengan genre sama, industri kita tidak dapat berkembang. Jadi selamat mendengar Luka Terpaling Dalam,” ujar Edrie Hashim dan Ary Hussin.


Diedarkan oleh A7 Empire (A7E), Luka Terpaling Dalam sudah boleh didengarkan di pelbagai stesen radio dan platform media sosial. Edrie Hashim selaku pencipta mahupun Ary Hussin sebagai penyanyi yang pertama kali memperkenalkan karyanya iaitu Luka Terpaling Dalam, kedua-duanya memasang harapan seiring.


Mereka mahu Luka Terpaling Dalam dinikmati dengan baik oleh pendengar dan meraikan kepelbagaian karya Malaysia demi pertumbuhan sihat muzik tempatan.