Terkini | New

Qalam Band Lancar Single Terbaru ‘Tanpa Noktah’ Balada Cinta Yang Tergantung Tanpa Jawapan

Qalam Band Lancar Single Terbaru ‘Tanpa Noktah’ Balada Cinta Yang Tergantung Tanpa Jawapan


Kumpulan muzik dari Perak, Qalam Band, kembali dengan karya terbaharu berjudul “Tanpa Noktah”, sebuah balada kontemporari penuh emosi yang mengisahkan cinta terhenti tanpa penjelasan. Lagu yang baru sahaja dilancarkan sekitar dua minggu lalu sudah mula menerima sambutan hangat daripada peminat setia mereka.

Ditubuhkan pada tahun 2011, Qalam Band membawa aliran muzik berteraskan balada moden dan kontemporari, diperkaya dengan elemen pop, soul, dan susunan orkestra ringan. “Visi kami adalah menyampaikan karya yang mempunyai nilai perasaan, naratif dan refleksi hidup sebenar,” jelas kumpulan yang sebelum ini dikenali melalui lagu Di Lamun Rindu itu.

“Tanpa Noktah” dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Mukhrizad, pemain bass Qalam Band, yang mendapat inspirasi daripada pengalaman sebenar. Lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang ditinggalkan secara tiba-tiba tanpa penjelasan, tanpa penutup, seolah-olah kisah cintanya tergantung di udara. Susunan muzik minimalis yang dihasilkan membolehkan vokal dan lirik menjadi tumpuan utama, memberi kesan mendalam kepada pendengar.

Menurut Qalam Band, proses penghasilan lagu ini mengambil masa kira-kira dua bulan, bermula daripada penciptaan melodi hingga ke rakaman studio, adunan (mixing) dan mastering. Cabaran utama mereka adalah menyampaikan emosi lagu secara jujur dan tepat tanpa berlebihan, memandangkan liriknya sangat peribadi dan sarat makna.


“Tanpa Noktah lebih matang dan mendalam berbanding karya-karya sebelum ini. Ia bukan sekadar lagu cinta, tetapi satu pengakuan batin yang sukar diungkap,” kata mereka. “Kami berharap lagu ini dapat menemani pendengar yang sedang terluka atau pernah melalui kehilangan secara tiba-tiba. Semoga ia menjadi suara untuk rasa yang sukar diluahkan.”

Selain pelancaran single ini, Qalam Band kini sedang merancang beberapa kolaborasi strategik bersama artis tempatan dan sedang dalam proses menyiapkan mini album yang memuatkan beberapa karya baharu. Mereka juga giat memperluas jangkauan melalui pentas persembahan langsung, platform digital, serta saluran alternatif seperti TikTok dan YouTube Live.

“Tanpa Noktah” kini boleh didengar di semua platform penstriman muzik.