Terkini | New

Majlis Penutupan Dan Penyampaian Sijil Bengkel Kreatif Vokal Dan Lakonan Asas OKU Disempurnakan Oleh Timbalan Menteri Komunikasi YB Teo Nie Ching

Majlis Penutupan Dan Penyampaian Sijil Bengkel Kreatif Vokal Dan Lakonan Asas OKU Disempurnakan Oleh Timbalan Menteri Komunikasi YB Teo Nie Ching


Buat pertama kalinya, Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia menganjurkan sebuah bengkel kreatif buat komuniti OKU dengan mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang melibatkan seramai 30 orang peserta.

​Bengkel Kreatif OKU Vokal dan Lakonan Asas untuk Drama Radio ini merupakan hasil cetusan idea Encik Azmi Jaffri, selaku Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia. Inisiatif ini telah disambut baik oleh pihak FINAS serta Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching. Program tersebut telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).



Pendekatan bengkel ini lebih fokus kepada teknik vokal dan lakonan asas terutamanya untuk drama radio yang jarang diketengahkan. Walhal, drama radio merupakan satu elemen hiburan penting yang mampu menyampaikan maklumat melalui lakonan suara. Meskipun golongan OKU mempunyai bakat tersendiri, ruang untuk mereka menyerlahkan kemampuan di dalam siaran TV atau radio tempatan masih terbatas dan lebih tertumpu kepada media sosial peribadi sahaja.



BENGKEL KREATIF VOKAL DAN LAKONAN ASAS OKU

​Pihak FINAS melihat idea dan konsep ini sebagai sesuatu yang unik kerana belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana pihak sebelum ini, maka ia wajar diketengahkan. Bahagian Latihan FINAS turut membantu dalam melaksanakan usaha ini, yang melibatkan peserta daripada pelbagai kategori seperti OKU Pertuturan, Fizikal, Pendengaran, Pembelajaran, dan Autisme.




Antara tenaga pengajar bengkel ini terdiri daripada individu yang tidak asing lagi dalam industri lakonan, iaitu YBhg. Datuk Fauziah Nawi (selaku penasihat), Cikgu Siti Hajar Ismail (mantan guru vokal AF), serta pemenang Pelakon Lelaki Harapan FFM 28 melalui filem Juvana 2, Adam Shahz.




Enam kemahiran yang telah diajar merangkumi teknik pernafasan, tonasi, serta sebutan yang jelas, di mana asas lakonan ini turut melibatkan pergerakan dan memek muka. Hal ini menjadi satu cabaran buat para tenaga pengajar untuk melahirkan pelajar berbakat melalui drama radio. Di samping itu, ilmu yang dipelajari oleh peserta bengkel ini juga boleh diguna pakai bagi teknik alih suara atau latar suara untuk iklan serta animasi.





Secara tidak langsung, peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi para peserta bengkel ini. Bengkel yang berlangsung selama tiga hari ini berakhir pada 13 haribulan Februari 2026, menerusi majlis penutup serta penyampaian sijil yang disempurnakan oleh YB Teo Nie Ching. Tarikh tersebut juga dipilih bersempena dengan sambutan Hari Radio Sedunia.



Diharapkan saluran TV dan radio kerajaan mahupun swasta dapat menyahut aspirasi Dasar Malaysia MADANI ini.