Terkini | New

Rozita Rohaizad Raikan Syawal 2026 Dengan Dua Buah Lagu Raya Baharu: “rindu Aidilfitri” Dan “gelak Tawa Raya”

Rozita Rohaizad Raikan Syawal 2026 Dengan Dua Buah Lagu Raya Baharu: “rindu Aidilfitri” Dan “gelak Tawa Raya”

Penyanyi veteran yang sentiasa tampil bertenaga, Rozita Rohaizad, kembali memeriahkan industri muzik tanah air menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran dua buah lagu raya terbaharu. Sejak tahun 2012, Rozita telah konsisten menyumbang kepada khazanah lagu raya negara, dan dengan pelancaran terbaharu ini, beliau kini memiliki koleksi peribadi sebanyak lapan buah lagu raya dalam pelbagai genre.

​Tahun 2026 menyaksikan Rozita tampil dengan dua naskhah yang mempunyai identiti berbeza sebuah lagu solo berentak Latin Pop dan sebuah lagu berkumpulan yang membawa nuansa Pop Twist.

1. Rindu Aidilfitri (Solo)

​Lagu solo ini merupakan sebuah karya yang mengangkat keindahan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri yang penuh makna. Melalui rentak Chacha (Latin Pop), lagu ini menggambarkan suasana raya yang sering dirindui, daripada aroma juadah tradisi seperti ketupat, lemang, dan dodol, sehinggalah kepada amalan kunjung-mengunjung sanak saudara.

​Membawa mesej kemaafan dan kesyukuran kepada Allah SWT, Rindu Aidilfitri adalah hasil gubahan lagu dan lirik oleh duo kreatif, Rozita Rohaizad dan Fauzi Aisunam. Lagu ini turut dimuatkan sebagai lagu utama dalam album kompilasi bertajuk "Rindu Aidilfitri 2026" yang menampilkan 21 buah lagu raya pelbagai variasi genre serta dua trek bonus.

​Peminat boleh mula mendengarkan lagu ini melalui pautan digital: https://bfan.link/rindu-aidilfitri, manakala video muzik (MV) rasmi akan dilancarkan tidak lama lagi.

2. Gelak Tawa Raya (Kumpulan – Saja Production)

​Bagi peminat yang merindukan suasana keceriaan keluarga besar, lagu Gelak Tawa Raya terbitan Saja Production adalah jawapannya. Lagu berentak Pop Twist ini merupakan sebuah karya yang sarat dengan nostalgia dan emosi.

​Dicipta oleh komposer Arwanz dengan lirik puitis nukilan Nadia Fharshah, lagu ini bermula dengan melodi tenang yang kemudiannya berkembang menjadi meriah di bahagian korus. Liriknya yang simbolik seperti "bayu desa berbisik rindu" dan "gelak tawa jadi nyanyian" berjaya menangkap perasaan rindu kepada kenangan lama.

​Lagu ini dipersembahkan secara berkumpulan oleh gabungan vokal harmoni:

  • Rozita Rohaizad
  • Nadia Fharshah, Arwanz, Kamil, M. Hafis, S. Kelvin, dan Radin.

Gelak Tawa Raya menyatukan tiga elemen utama iaitu nostalgia kampung halaman, kemeriahan jenaka keluarga, dan rasa rindu kepada insan tersayang yang telah tiada. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan sebenar suasana Aidilfitri masyarakat Malaysia.

"Saya sangat mementingkan keceriaan di hari raya. Sejak tahun lepas lagi, saya sudah mula merancang karya-karya ini. Tahun ini saya sangat teruja kerana dapat memberikan dua nuansa berbeza pop chacha dan pop twist. Saya berharap lagu-lagu ini dapat menghiburkan hati pendengar dan menjadi pelengkap kepada sambutan hari raya semua. Insya-Allah." Ujar Rozita Rohaizad

Dengan pelancaran ini, Rozita Rohaizad terus membuktikan dedikasi beliau dalam memastikan tradisi lagu raya tempatan terus subur dan segar untuk didengari oleh semua lapisan generasi.