TOMOK LANCAR SINGLE BAHARU “BUAH HATI” DENGAN PENDEKATAN ISTIMEWA BERSAMA PEMINAT
TOMOK LANCAR SINGLE BAHARU “BUAH HATI” DENGAN PENDEKATAN ISTIMEWA BERSAMA PEMINAT

Penyanyi dan komposer popular tanah air, Tomok, membuka tirai tahun 2026 dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Buah Hati”, sebuah karya yang sarat dengan tema kekeluargaan, kasih sayang dan keikhlasan emosi.
Single ini merupakan hasil ciptaan Tomok bersama Barr Hadif, manakala liriknya ditulis oleh Fedtri Yahya. “Buah Hati” mengangkat makna kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat — melindungi, membimbing serta berkorban demi kebahagiaan anak-anak, disertai doa agar mereka membesar dengan baik, kuat dan bahagia.
Menurut Tomok, “Alhamdulillah, ini permulaan yang baik untuk tahun 2026. ‘Buah Hati’ adalah sebuah lagu yang sangat dekat di hati saya dan diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi. Sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya menjadikan gabungan melodi dan mesej lagu ini sesuatu yang sangat istimewa. Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh semua peminat.”
Menariknya, sebagai tanda penghargaan terhadap nilai kasih sayang dan kekeluargaan, Tomok turut tampil dengan video lirik rasmi yang memaparkan foto-foto peminat bersama insan tersayang yang dihantar sendiri oleh mereka. Inisiatif istimewa ini mencerminkan usaha Tomok untuk mendekati para peminatnya dengan lebih dekat, sekali gus meraikan ikatan cinta, kebersamaan dan hubungan emosi yang terjalin antara beliau dan para penyokong setianya
Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan, memulakan kerjaya seni seawal usia 15 tahun bersama kumpulan NEW BOYZ sekitar tahun 1999. Aspirasi dan komitmennya dalam bidang muzik terus berkembang, dengan kejayaan bergelar juara program realiti One In A Million yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura penting industri hiburan Malaysia hingga ke hari ini.
Sebelum pelancaran “Buah Hati”, Tomok turut tampil dengan beberapa rilisan terkini, termasuk kolaborasi bersama Siti Nordiana menerusi lagu Memori Mungkin Berulang dan Gelora Jiwa Meronta Asmara, yang menerima sambutan positif daripada peminat.
Selain aktif sebagai penyanyi, Tomok juga mengembangkan kerjayanya sebagai komposer dan usahawan seni melalui penubuhan Popsicle Records pada tahun 2018. Syarikat ini berjaya menganjurkan konsert di dalam dan luar negara sepanjang tahun 2023 dan 2024, selain menerbitkan karya muzik pelbagai artis ternama. Tomok juga pernah menghasilkan lagu untuk beberapa artis terkenal, termasuk sebuah karya dalam album Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Single “Buah Hati” diterbitkan oleh Popsicle Records dan diedarkan secara digital di bawah label Luncai Emas, yang turut mentadbir hak cipta lagu dan lirik ini. Tomok adalah komposer eksklusif di bawah Luncai Emas.
Single ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Popsicle Records.
Diharapkan para pengamal media serta peminat dapat menghayati single terbaharu Tomok berjudul “Buah Hati” ini