D’Herbs Lancar Brandfilm Raya 2026 “Ya, Abah Saya Security” Pengorbanan Seorang Bapa
D’Herbs Lancar Brandfilm Raya 2026 “Ya, Abah Saya Security” Pengorbanan Seorang Bapa











Menjelang Aidilfitri tahun ini, D’Herbs tampil berbeza dengan brandfilm terbarunya bertajuk “Ya, Abah Saya Security”, sebuah karya yang bukan sekadar memikat mata tetapi juga menggugah emosi penonton melalui kisah pengorbanan seorang bapa yang bekerja keras demi masa depan anak-anaknya, walaupun hanya berbekalkan uniform pengawal keselamatan.

Filem pendek ini dilihat lebih daripada sekadar promosi produk ia merupakan cerita yang jujur dan dekat dengan realiti masyarakat, khususnya tentang pengorbanan seorang bapa dalam memastikan kebahagiaan keluarga tercapai.
Diterbitkan oleh D’Herbs dengan kerjasama Tangerine Pictures dan diarahkan oleh Bobby Husaini, naskhah ini mengangkat kehidupan seorang pengawal keselamatan pekerjaan yang kerap dipandang remeh, namun sarat dengan nilai maruah dan dedikasi.

Menurut pengasas D’Herbs, Dato’ Aliff Syukri, beliau memilih untuk menghasilkan karya ini kerana mahu menyampaikan mesej yang lebih mendalam berbanding iklan komersial biasa.
“Setiap tahun kita lihat iklan raya yang menyentuh hati, tetapi saya ingin sesuatu yang benar-benar dekat dengan kehidupan sebenar. Kisah ini mencerminkan realiti ramai keluarga yang berjuang demi anak-anak mereka,” ujar Aliff.
Beliau berharap masyarakat dapat mengubah perspektif terhadap pekerjaan yang sering dipandang ringan, kerana setiap kerja mempunyai nilai tersendiri, terutama apabila ia dilakukan demi keluarga.


“Kadang-kadang kita terlalu cepat menilai pekerjaan orang lain. Sebenarnya, di sebalik uniform seorang pengawal keselamatan, ada seorang bapa yang gigih berjuang untuk masa depan anaknya,” tambahnya lagi.
Watak bapa dalam filem ini dibawa oleh pelakon berkaliber Azhan Rani, yang berjaya menjiwai karakter seorang lelaki sederhana namun penuh kasih sayang terhadap keluarga. Azhan mengakui bahawa watak tersebut memberi impak emosi yang mendalam sepanjang penggambaran kerana kisahnya dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat.


“Watak ini bukan sekadar seorang pengawal keselamatan, tetapi tentang pengorbanan seorang bapa yang tidak pernah mengharap balasan,” kata Azhan.
Pengarah Bobby Husaini pula menegaskan bahawa kekuatan utama naskhah ini terletak pada kejujuran penceritaannya. Menurutnya, pendekatan yang ringkas namun sarat emosi membuatkan filem pendek ini mampu menyentuh hati penonton tanpa memerlukan dramatik berlebihan.


Selain Azhan Rani, filem ini turut dibintangi oleh Mikael Noah, Niezam Zaidi, dan Megat Sharizal, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan naratif keseluruhan.
“Ya, Abah Saya Security” dijadualkan mula ditayangkan kepada umum melalui platform media sosial pada 12 Mac ini.

Melalui karya ini, D’Herbs bukan sahaja menyumbang kepada tradisi iklan raya yang menyentuh hati, tetapi juga membuka ruang untuk masyarakat menghargai pengorbanan ibu bapa serta nilai sebenar sebuah pengorbanan dalam institusi keluarga.