Terkini | New

Kuala Lumpur Tower Dan Hop On Hop Off Terus Perkukuh Kerjasama Strategik Melalui Program Csr Ramadan Bersama Pelajar Tahfiz

Kuala Lumpur Tower Dan Hop On Hop Off Terus Perkukuh Kerjasama Strategik Melalui Program Csr Ramadan Bersama Pelajar Tahfiz


​Kuala Lumpur Tower dengan kerjasama Hop On Hop Off (HOHO) hari ini menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan majlis Iftar bersama pelajar dari Madrasah Tahfiz Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyantuni komuniti dan berkongsi keberkatan Ramadan.


​Seramai 30 orang pelajar bersama guru pengiring telah menyertai program tersebut, di mana mereka dibawa menaiki bas HOHO dari madrasah ke Kuala Lumpur Tower untuk menikmati pengalaman lawatan ke beberapa tarikan utama menara termasuk Sky Terrace, Glass Box dan Observation Deck, sebelum berbuka puasa bersama pihak pengurusan serta kakitangan Kuala Lumpur Tower dan HOHO di Sky Mega Hall.



​Program ini turut diserikan dengan sesi penyampaian duit raya dan cenderahati kepada para pelajar sebagai simbol penghargaan serta sokongan kepada usaha pendidikan mereka. Kerjasama antara Kuala Lumpur Tower dan HOHO bukanlah sesuatu yang baharu. Kedua-dua organisasi telah lama menjalin hubungan kerjasama strategik melalui pelbagai inisiatif bersama yang merangkumi aktiviti promosi pelancongan serta program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

​Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur Tower, Encik Khairil Faizal Hj Othman, kerjasama berterusan dengan HOHO mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan ekosistem pelancongan bandar sambil memberi impak positif kepada komuniti.


​"Hubungan kerjasama antara Kuala Lumpur Tower dan Hop On Hop Off telah terjalin sekian lama dan kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh HOHO sebagai rakan strategik kami. Melalui kerjasama ini, pelbagai inisiatif telah berjaya dilaksanakan termasuk program-program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar," katanya.


​Beliau menambah bahawa program tersebut juga mencerminkan komitmen Kuala Lumpur Tower dalam memainkan peranan sebagai sebuah mercu tanda negara yang bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan ikonik, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial.



​"Kami berharap pengalaman yang dilalui hari ini dapat memberi inspirasi dan kegembiraan kepada para pelajar. Kuala Lumpur Tower komited untuk terus memperluaskan inisiatif CSR pada masa hadapan bagi menyantuni pelajar serta golongan masyarakat yang kurang berkemampuan," katanya lagi.


​Sebagai antara ikon pelancongan utama negara, Kuala Lumpur Tower akan terus memperkukuhkan peranannya bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, malah sebagai platform yang menghubungkan sektor pelancongan dengan usaha pembangunan komuniti melalui pelbagai program kemasyarakatan yang berimpak, khususnya sempena Ulang Tahun Kuala Lumpur Tower ke-30 serta sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.