Didie Shazry Remake Lagu Mendiang Lotter Versi Baharu – ‘‘Yang Berlalu Tak Berulang’’
Didie Shazry Remake Lagu Mendiang Lotter Versi Baharu – ‘‘Yang Berlalu Tak Berulang’’
Dalam usaha mengangkat semula karya malar segar ke dimensi baharu, penyanyi muda berbakat - Didie Shazry tampil dengan remake sebuah lagu ikonik ‘’Yang Berlalu Tak Berulang’’ dalam versi baharu.

Didie Shazry atau nama sebenarnya E.D Shazry seorang penyanyi berasal dari Sabah yang memiliki tona suara yang merdu . Mula dikenali secara meluas selepas dinobatkan sebagai Juara Program Astro - Raise The Star dan terpilih untuk mempersembahkan karya komposer Aina Abdul sewaktu akhir pertandingan tersebut. Didie juga sebelum ini merupakan pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Projek rakaman semula “Yang Berlalu Tak Berulang” diterbitkan oleh Luncai Emas sebagai pemegang hak cipta, dengan tujuan menghidupkan semula karya klasik agar lebih dekat dengan cita rasa masa kini. Ia mendapat persetujuan komposer asal, Neves Pretty Ugly dan memberi peluang kepada Didie Shazry membawakan lagu ini dengan gaya tersendiri.
Komposer , Neves berkata ‘’Lagu ini asalnya dibawa oleh mendiang Lotter, lirik ditulis oleh Allahyarham Loloq. Dua insan seni yang kini hanya tinggal kenangan. Pemergian mereka meninggalkan satu ruang yang sukar untuk diisi , apatah lagi bila setiap bait dan melodi dalam lagu ini begitu dekat dengan jiwa. Saya sangat menghargai cara Didie hidupkan kembali setiap rasa yang pernah kami rakamkan. Melalui rakaman semula ini, rasa itu hidup kembali dan kenangan mereka terus bernyawa. Terima kasih kerana menjaga lagu ini dengan penuh hormat,” ujar Neves.
Didie berkata ‘’Lagu ini sebelum ini dipopularkan oleh mendiang Lotter, penyanyi yang cukup dikenali di Sabah. Didie mengakui membesar dengan lagu-lagu sebegini, malah keluarga juga merupakan peminat tegar karya tersebut. Lebih bermakna, projek ini menghubungkan Didie dengan dua figura seni idolanya sejak kecil iaitu komposer Neves dan penulis lirik Allahyarham Loloq. Didie berharap versi remake ini bukan sahaja dapat menarik minat generasi baharu, malah terus menyentuh hati peminat lama sekaligus menghidupkan kembali legasi karya yang penuh makna ini’’.
Didie sebelum ini juga pernah membawakan sebuah lagu berentak joget kontemporari “Joget Jiwa Lara”, dalam album kompilasi ‘’Joget Made In Malaysia’’ terbitan Luncai Emas yang turut menampilkan barisan artis lain seperti Amir Jahari, Kmy Kmo & Luca Sickta , Jaclyn Chia dan juga Puteri Khareeza.
Proses rakaman lagu ‘’Yang Berlalu Tak Berulang’’ telah dibuat di Jakarta bersama produser Joel Christine dan Didie sendiri, dengan susunan muzik dan melodi yang diolah semula sepenuhnya mengikut identiti vokalnya tanpa menghilangkan elemenn asal. Adunan dan mastering lagu pula oleh Josecar Q.M Hutabarat ( ICM Studio, Indonesia ) . Manakala, penggambaran video muzik bagi lagu ini juga dirakamkan di Bali, Indonesia oleh Alfi Aditya.
Single remake “Yang Berlalu Tak Berulang” ini diharapkan dapat menyentuh hati pendengar lama dan baharu, selain menjadi pengingat tentang kenangan dan insan tersayang. Lagu ini boleh ditonton di YouTube Luncai Emas mulai 24 April, jam 4 petang serta di semua platform penstriman digital.