Terkini | New

iCents Raikan Pelancaran Fasiliti Pembuatan Bilik Bersih Maytech

iCents Raikan Pelancaran Fasiliti Pembuatan Bilik Bersih Maytech

Fasiliti Baharu Memperkukuh Keupayaan Pembuatan Bilik Bersih Malaysia untuk Industri Pertumbuhan Tinggi


iCents Group Holdings Berhad (“iCents” atau “Kumpulan”), pakar dalam reka bentuk, kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), kelayakan dan pengesahan bilik bersih, serta pembuatan kelengkapan bilik bersih dan produk berkaitan, hari ini melancarkan secara rasmi Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn Bhd (“Maytech”), anak syarikat milik penuh iCents, di fasilitinya yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.

​Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh YB Tuan Teo Kok Seong, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, dan dihadiri oleh wakil-wakil kanan daripada MIDA, Invest Negeri Sembilan, pihak berkuasa tempatan serta rakan industri. Acara ini menandakan satu mercu janda penting dalam memperkukuh keupayaan Malaysia dalam pembuatan bilik bersih dan penyelesaian fasiliti termaju.

​Maytech pakar dalam reka bentuk, pembuatan dan pembekalan sistem bilik bersih serta komponen berkaitan, menyokong industri berspesifikasi tinggi seperti semikonduktor, pusat data, farmaseutikal, sains hayat, makanan & minuman serta minyak sawit. Fasiliti ini meningkatkan kapasiti Kumpulan untuk menyediakan penyelesaian bilik bersih dan fasiliti bersepadu sambil menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi infrastruktur persekitaran terkawal di peringkat domestik dan serantau.

​Selaras dengan pengembangannya, Maytech telah komited untuk membuat pelaburan strategik sebanyak kira-kira RM15 juta bagi meningkatkan keupayaan pembuatan termaju dan infrastrukturnya. Pelaburan ini menyokong kemampuan Kumpulan untuk menyampaikan penyelesaian kejuruteraan jitu yang berkualiti tinggi sambil memperkukuh peranannya dalam menyokong pertumbuhan industri di peringkat tempatan dan merentasi pasaran serantau.


​Pengembangan ini dijangka bakal menjana kira-kira 100 peluang pekerjaan, di mana sekitar 30% daripadanya terdiri daripada peranan mahir dan teknikal, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang lebih khusus dalam sektor pembuatan termaju di Malaysia.

​Fasiliti ini dilengkapi dengan rangkaian teknologi pembuatan termaju yang direka untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, ketepatan dan kebolehskalaan. Ini termasuk sistem pemotongan laser berketepatan tinggi untuk fabrikasi pintu bilik bersih, barisan pengeluaran panel separa automatik dengan kapasiti sehingga 3,000 meter persegi sehari, dan sistem pemotongan aluminium termaju yang meningkatkan ketepatan sambil mengurangkan pembaziran bahan. Selain itu, fasiliti ini disokong oleh keupayaan ujian bahan yang komprehensif, termasuk Mesin Ujian Universal (UTM), serta kemudahan makmal dalaman untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian industri dan kualiti produk yang konsisten.


​Melengkapi keupayaan pembuatannya, Maytech mengekalkan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman yang berdedikasi bagi memacu inovasi berterusan dan membangunkan penyelesaian yang sejajar dengan keperluan bilik bersih dan industri yang sentiasa berkembang.

​Di luar Malaysia, Maytech telah memperluaskan kehadirannya merentasi pasaran serantau, berkhidmat kepada pelanggan di Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina, mencerminkan jejak Kumpulan yang semakin berkembang sebagai penyedia penyelesaian bilik bersih dan seni bina yang khusus di Asia Tenggara.

​Selaras dengan komitmennya terhadap amalan mampan, Maytech terus menyepadukan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam operasinya, termasuk usaha untuk mengesahkan produknya di bawah program Pengisytiharan Produk Persekitaran (EPD) dan inisiatif berterusan untuk memantau serta mengurangkan jejak karbonnya.


Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, “Pelancaran Maytech Cleanroom Manufacturing menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi ekonomi berasaskan teknologi dan bernilai tinggi. Pelaburan ini mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam memperkukuh ekosistem industrinya, terutamanya dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pusat data, dan sains hayat. Selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, pembangunan keupayaan pembuatan termaju, termasuk penyelesaian bilik bersih, memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing Malaysia dan menarik pelaburan berkualiti. MIDA kekal komited untuk menyokong syarikat seperti iCents dalam meningkatkan keupayaan teknologi mereka, memupuk inovasi, dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Kami yakin bahawa inisiatif seperti ini akan menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seterusnya meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan bagi pembuatan termaju di rantau ini.”

YB Teo Kok Seong, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan berkata, “Penubuhan Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn Bhd mencerminkan pelaburan tempatan yang signifikan yang menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi di Negeri Sembilan. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem industri negeri, malah menunjukkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan kami untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan mampan.

​Dengan pelaburan kira-kira RM15 juta dan penciptaan sekitar 100 peluang pekerjaan, fasiliti ini menyumbang secara bermakna kepada pembangunan bakat dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, terutamanya untuk golongan belia kita.

​Fokus pada pembuatan bilik bersih dan penyelesaian persekitaran terkawal adalah sangat relevan memandangkan industri terus menuntut ketepatan yang lebih tinggi dan piawaian kualiti yang lebih ketat. Fasiliti seperti Maytech akan memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan industri yang sedang berkembang ini, sambil memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab industri yang kompetitif dan dinamik di rantau ini.”

Ir. Ts. Vincent Ong Mum Fei, Pengarah Urusan iCents Group Holdings Berhad mengulas, “Pelancaran Maytech Cleanroom Manufacturing menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan pembuatan kami dan menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian bilik bersih dan fasiliti berspesifikasi tinggi. Fasiliti ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan penyelesaian bersepadu merentasi industri utama seperti pusat data, semikonduktor dan farmaseutikal, sambil mengukuhkan komitmen kami terhadap kualiti, kecemerlangan kejuruteraan dan pelaksanaan yang berdisiplin. Kami percaya ini meletakkan kami di kedudukan yang baik untuk menyokong keperluan projek domestik dan serantau seiring dengan pengembangan sektor-sektor ini.”

Encik Foo Siang Leng, Pengarah Eksekutif iCents Group Holdings Berhad menambah, “Maytech mewakili langkah penting dalam memperluaskan kapasiti operasi kami dan meningkatkan piawaian pengeluaran kami bagi memenuhi keperluan projek yang semakin kompleks. Susulan penglibatan kami dalam projek pusat data di Thailand sejak tahun lepas, dan terbaru di Indonesia, ini mencerminkan jejak serantau kami yang semakin berkembang. Dengan fasiliti ini, kami berada di kedudukan yang lebih baik untuk menyokong pelanggan tempatan dan luar negara melalui kecekapan pengeluaran yang dipertingkatkan, kualiti produk dan penyampaian projek yang tepat pada masanya, sambil mengekalkan fokus kami pada disiplin operasi dan ketepatan teknikal.”

​Majlis tersebut menampilkan rangkaian aktiviti termasuk pembentangan korporat, majlis perasmian, menandatangani plak dan pemotongan reben, serta lawatan berpandu ke kemudahan pengeluaran dan bilik pameran Maytech. Tetamu juga berpeluang meneroka teknologi bilik bersih Kumpulan dan terlibat dalam perbincangan mengenai kerjasama strategik dan perkembangan industri.

​Melangkah ke hadapan, iCents terus fokus pada memperkukuh keupayaan operasi dan memperluaskan kehadirannya dalam industri berspesifikasi tinggi di seluruh rantau. Kumpulan akan terus memberi keutamaan kepada kecemerlangan teknikal, inovasi produk dan pelaksanaan berdisiplin sambil menyokong keperluan industri yang memerlukan persekitaran terkawal yang sentiasa berkembang. Dengan keupayaan pembuatan yang dipertingkatkan dan jejak serantau yang semakin berkembang, iCents berada di kedudukan yang baik untuk menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pelanggan dan pemegang taruhnya.