Amazing Thailand Fest 2026 membawa "The Wholesome Taste of Thai" ke Kuala Lumpur
Amazing Thailand Fest 2026 membawa "The Wholesome Taste of Thai" ke Kuala Lumpur
Gastronomi, budaya, kesejahteraan, dan pengalaman pelancongan Thailand dibina berasaskan lebih daripada dua juta ketibaan rakyat Malaysia bagi memberi inspirasi untuk lebih banyak perjalanan ke Thailand.

Pelancongan Thailand (TAT), dengan kerjasama Central Group, telah menganjurkan Amazing Thailand Fest 2026 (The Wholesome Taste of Thai) dari 26 hingga 28 Jun 2026 di Central i-City, Kuala Lumpur, Malaysia, dengan memberikan tumpuan utama kepada gastronomi Thailand sebagai pintu masuk kepada budaya, kesejahteraan, gaya hidup tempatan, dan pengalaman pelancongan untuk pengunjung Malaysia.

Yang Teramat Mulia Puteri Ubolratana telah memperkenankan keberangkatan bagi mempengerusikan upacara pembukaan pada 26 Jun 2026, dengan dihadiri oleh Encik Surasak Phancharoenworakul, Menteri Pelancongan dan Sukan, serta Cik Thapanee Kiatphaibool, Gabenor TAT. Yang Teramat Mulia turut mempersembahkan demonstrasi masakan Thai yang menampilkan khao kriap pak mo, iaitu ladu kulit beras kukus; saku sai kung, iaitu ladu ubi kayu dengan inti udang; dan khanom tua paep, iaitu ladu beras kacang hijau dan kelapa. Hidangan-hidangan tersebut mencerminkan kemahiran seni kulinari Thai, bahan-bahan tempatan, serta herba dan aromatik yang dikaitkan dengan budaya makanan harian masyarakat Thai.


Encik Surasak Phancharoenworakul, Menteri Pelancongan dan Sukan, berkata, “Masakan Thai adalah kekuatan nasional yang menghubungkan budaya, identiti, dan pelancongan. Amazing Thailand Fest 2026 di Kuala Lumpur menyokong dasar pelancongan Thailand dengan menggunakan makanan sebagai jambatan untuk memberi inspirasi kepada perjalanan, menjana nilai ekonomi, dan mencipta faedah yang lebih luas kepada destinasi, komuniti, dan perniagaan.”

Di peringkat pemasaran TAT, Cik Thapanee Kiatphaibool, Gabenor TAT, berkata, “The Wholesome Taste of Thai memberikan TAT satu platform yang jelas untuk menterjemahkan daya tarikan kulinari Thailand kepada inspirasi perjalanan. Di Kuala Lumpur, acara ini menghubungkan gastronomi dengan kesejahteraan, budaya, kreativiti, dan cara hidup tempatan, sekali gus menggalakkan pelancong Malaysia untuk menemui semula Thailand melalui pengalaman yang lebih kaya dan pelbagai.”
Edisi Kuala Lumpur ini membawakan pengalaman makanan, budaya, dan gaya hidup Thai kepada para pengunjung melalui Bazar Makanan Thai, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan, urutan Thai, dan penampilan istimewa oleh pelakon dan penyanyi Thai, Third Lapat, termasuk sesi ramah mesra serta konsert mini. Sawasdee Lounge pula menambah suasana pasar terapung berinspirasikan Thai dengan pencuci mulut, snek, minuman ringan, permainan, peluang bergambar, dan persembahan secara langsung, manakala aktiviti kekeluargaan merangkumi bengkel, sesi seni dan kraf, cabaran menyeronokkan, aktiviti membuat pencuci mulut, dan Bengkel Muay Thai Kanak-kanak.

Acara ini memperkukuh promosi pelancongan gastronomi oleh TAT, yang merupakan minat yang semakin berkembang dalam kalangan pelancong Malaysia di samping aspek kesejahteraan, alam semula jadi, pusat peranginan mewah, aktiviti berkunjung ke kafe (cafe hopping), budaya tempatan, dan pengembaraan santai. Ia juga mencerminkan peningkatan permintaan pemanduan kenderaan sendiri (self-drive) ke destinasi-destasi selatan, termasuk Hat Yai di Songkhla, Betong di Yala, Satun, Phatthalung, Nakhon Si Thammarat, Trang, Krabi, Phang-nga, dan Phuket.


Corak perjalanan ini disokong oleh ketersambungan Thailand yang kukuh dengan Malaysia, termasuk penerbangan terus dari beberapa buah bandar, syarikat penerbangan tambang rendah, sembilan pintu kawalan sempadan, dan perkhidmatan kereta api khas antara Kuala Lumpur dan Hat Yai Junction. Thailand juga menawarkan kesediaan pelancongan mesra Muslim, dengan adanya komuniti Muslim, masjid, pilihan makanan yang sesuai, piawaian keselamatan, kualiti perkhidmatan, dan komunikasi yang mesra pengunjung.



Malaysia kekal menjadi salah satu pasaran sumber serantau yang utama bagi Thailand, menduduki tempat kedua untuk ketibaan pelawat selepas China. Dari 1 Januari hingga 22 Jun 2026, Thailand telah menyambut ketibaan 2,000,211 pelawat Malaysia, dengan pelancong bebas (independent travellers) merangkumi lebih daripada 90% daripada pasaran tersebut. Purata perbelanjaan melebihi 21,000 Baht bagi setiap orang untuk setiap perjalanan, mencerminkan kekuatan Thailand sebagai destinasi pilihan untuk hujung minggu, cuti sekolah, dan cuti yang lebih panjang.


Edisi Kuala Lumpur ini menandakan hentian terakhir dalam pameran antarabangsa yang dikaitkan dengan Central Group, menyusuli pembentangan terdahulu di Selfridges London, KaDeWe Berlin, dan de Bijenkorf Amsterdam. Di bawah platform Amazing Thailand Fest 2026 yang lebih luas oleh TAT, "The Wholesome Taste of Thai" juga telah dibentangkan di Fukuoka, dengan menggunakan gastronomi, budaya, gaya hidup, dan pengalaman kreatif bagi memperkukuh daya tarikan Thailand dalam kalangan pelancong berkualiti.