Terkini | New

Demam Bola Sepak Gegarkan Menara Kuala Lumpur Sempena Tournament Sharp Shooter 2026

Demam Bola Sepak Gegarkan Menara Kuala Lumpur Sempena Tournament Sharp Shooter 2026


​Di kala demam bola sepak sedang melanda dunia sempena Piala Dunia FIFA 2026 yang sedang berlangsung, Menara Kuala Lumpur tidak ketinggalan membawakan kemeriahan tersebut lebih dekat dengan masyarakat melalui penganjuran Kuala Lumpur Tower Sharp Shooter Tournament 2026. Acara berbisa ini telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Tower Terrace, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 mercu tanda ikonik tersebut.

​Lebih daripada 140 peserta yang terdiri daripada peminat tegar bola sepak, komuniti keluarga, serta bakat-bakat muda korporat telah membanjiri tapak acara. Mereka bersaing sengit di dalam dua kategori utama iaitu Kategori Terbuka dan Bawah 12 Tahun bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul yang bernilai lebih daripada RM5,000.00.

​Suasana di perkarangan Menara Kuala Lumpur bertukar menjadi hab bola sepak yang penuh bertenaga. Selain menyaksikan aksi mendebarkan para peserta menguji kemahiran sepakan penalti, para pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai cabaran interaktif bertemakan bola sepak seperti:

  • Cabaran Timbangan Bola Terbanyak (Most Juggling Ball Challenge)
  • Cabaran Gelecekan Terpantas (Fastest Dribbling Challenge)
  • Cabaran Sepakan Sasaran (Target Shoot Challenge)

​Mengulas mengenai kejayaan acara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman, menyatakan bahawa sukan bola sepak merupakan platform terbaik untuk meraikan ulang tahun jubli mutiara Menara Kuala Lumpur di samping menyatukan komuniti.

​"Sedang dunia meraikan kehangatan Piala Dunia FIFA 2026, kami mahu rakyat Malaysia merasai sendiri keterujaan dan semangat sukan bola sepak ini di Menara Kuala Lumpur. Kejohanan ini amat bermakna kerana ia dianjurkan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Menara Kuala Lumpur pada tahun ini.

​Selama tiga dekad, menara ini telah menjadi tempat tumpuan masyarakat untuk berkumpul, berhubung, dan mencipta memori indah bersama. Melalui aktiviti seperti ini, kami meneruskan tradisi tersebut di samping mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh ikatan kemasyarakatan," kata beliau.


​Berdiri megah pada ketinggian 421 meter dari aras laut, Menara Kuala Lumpur telah menyambut jutaan pelawat dari seluruh dunia sejak tahun 1996 dan kekal sebagai salah satu mercu tanda paling ikonik di Malaysia. 


Kejohanan Sharp Shooter ini merupakan sebahagian daripada rangkaian aktiviti menarik yang telah dirancang sepanjang tahun bagi memperingati ulang tahun ke-30 menara, sekali gus menyokong momentum promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).