Terkini | New

Konsert Spideraya Sempena 3 Dekad Bakal Meriah Tanggal 26 September 2026 Di Stadium Hoki Nasional

Konsert Spideraya Sempena 3 Dekad Bakal Meriah Tanggal 26 September 2026 Di Stadium Hoki Nasional


Kumpulan Spider memang macam ‘Aladin’ moden. Tanpa perlu ‘Relaku Pujuk’, cukup untuk sebuah pengumuman Spider bakal mengadakan konsert dalam skala besar, semua peminat kugiran yang terkenal dengan muzik rock dan ska ini akan menjadi ‘KitaSatu’.

Konsert dalam skala besar malah berita yang mengujakan buat peminat sementalah sepangang lebih tiga dekad menekuni belantika muzik tempatan serta diiktiraf dengan pelbagai anugerah, ini kali pertama menyaksikan Spider akan berpesta dengan sebuah perayaan yang menghimpunkan ‘Suka Duka Kita’.


Diberi nama Spideraya, ia bukan sebuah konsert yang ‘Mungkinkah Terjadi’ tetapi memang akan terjadi yang telah lama menjadi ‘Nazrakui’ buat empat anggota Spider iaitu Tam, Aie,Iss dan Pown. Spideraya bakal menemui peminat pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam.


Penganjur, B7 Resources San Bhd menyifatkan penganjuran Spideraya sebagai sebuah peristiwa ‘Ajaib’ yang tidak boleh dilaksanakan ‘Tak Esok Lusa’.

“Kami di B7 Resources Son Bhd tidak memerlukan alasan yang lebih besar daripada jenama Spider itu sendiri untuk menganjurkan Spideraya pada 26 September 2026 ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Spider adalah kugiran legenda tanah air. Katalog muzik mereka daripada zaman album Ngam Ho di tahun 1998 sehingga Ankabut yang lahir pada 2016, sekitar 10 tahun lalu masih relevan sehingga satu dekad kini tanpa karya baharu.

“Spider juga tidak perlu ‘menjual’ kugiran dan karya mereka dengan terlalu ‘keras’ tetapi melalui kualiti dan kredbiliti mereka, Spider terus menjadi salah sebuah kugiran terbaik yang ada dalam ranah muzik tanah air dan dengan beberapa siri penganjuran konsert Spider yang ‘pecah’ sebelum ini, B7 Resources Sdn Bhd sangat teruja dan tidak sabar dengan penganjuran Spideraya yang dijadual berlangsung pada 26 September 2026,” ujar Khairul Afizi (Khai) wakil B7 Resources Sdh Bhd.

Menurut Khai lagi, nama Spideraya dipilih sebagai lambang perayaan fasa dan evolusi muzik kugiran kelahiran Johor Bahru ini selama lebih 30 tahun bersama peminat.

“Kami percaya baik gen Milenial sehingga gen Z, semua pernah mendengar Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi atau Kacap Terlabik. Maka Spideraya menggambarkan keseluruhan fasa karya Spider sejak 30 tahun lalu yang masih malar segar dan relevan. Paling penting, Spider masih menjadi salah satu kugiran terbaik tanah air yang layak diraikan menerusi sebuah konsert berskala besar seperti ini,” kata Khai lagi.


"Sementara Spider menyifatkan tawaran yang diberi B7 Resources memiliki misi dan visi yang sama dengan kugiran mereka yang sudah bergelumang dengan sepak terajang dunia seni.
Vokalisnya, Tam menyatakan persetujuan yang dibuat Spider untuk Spideraya pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil telah dipertimbang dan diperhalusi dengan baik. Spideraya bukan sekadar sebuah konsert tetapi bakal menjadi salah satu sejarah penganjuran terbaik buat semua pihak. Spider akan membawakan konsep ‘perayaan’ yang tidak akan pernah dilupakan,” ujar Tam.


Buat peminat, tiket-tiket dengan kategori ALADIN (RM158), KITA SATU (RM148), NGAM HO (RM168), ANKABUT (RM208), BINTANG 12 (RM238), NAZRAKU (RM268) boleh dibeli menerusi https://www.ticket2u.com.my/spideraya.