Rockestra 5.0 Dan Festival Rock Angkat Warisan Muzik Rock Tanah Air Di Panggung Anniversari Pada 18 Julai 2026
Rockestra 5.0 Dan Festival Rock Angkat Warisan Muzik Rock Tanah Air Di Panggung Anniversari Pada 18 Julai 2026

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menganjurkan Rockestra 5.0 dan Festival Rock pada 17 hingga 19 Julai 2026 di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, sebagai sebuah festival yang menghimpunkan elemen persembahan muzik, warisan budaya, komuniti kreatif dan apresiasi seni dalam satu penganjuran berskala besar.
Program ini merupakan antara pengisian utama Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026 yang bertujuan menghidupkan semula Panggung Anniversari sebagai sebuah ruang seni terbuka yang menjadi wadah kepada penggiat seni, pemuzik, komuniti kreatif dan masyarakat menikmati persembahan berkualiti di tengah-tengah ibu negara.
Kemuncak festival ialah Rockestra 5.0 yang akan berlangsung pada Sabtu, 18 Julai 2026, bermula jam 8.30 malam menerusi sebuah konsert yang mengetengahkan konsep unik dengan menggabungkan keunikan muzik rock dan susunan muzik simfoni. Lebih 60 pemuzik Orkestra Kuala Lumpur akan bergandingan bersama barisan penyanyi rock terkenal bagi mempersembahkan karya-karya malar segar dalam dimensi baharu yang lebih epik, dramatik dan bertaraf orkestra, tanpa menghilangkan identiti asal muzik rock tempatan.



Festival ini turut membuka ruang kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri proses di sebalik penganjuran konsert menerusi sesi latihan bunyi (soundcheck) Rockestra 5.0, selain mendekatkan peminat dengan artis, pemuzik dan komuniti yang telah lama mewarnai industri muzik tempatan.
Lebih daripada sekadar sebuah festival hiburan, penganjuran ini menjadi platform yang menyatukan generasi lama dan baharu dalam menghargai perjalanan muzik rock tanah air, di samping memperkukuh jaringan komuniti kreatif melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan apresiasi terhadap karya seni tempatan.
Panggung Anniversari sendiri mempunyai nilai sejarah yang cukup signifikan dalam perkembangan industri muzik negara. Lokasi ikonik ini pernah menjadi pentas kepada ramai artis dan kumpulan legenda yang mewarnai landskap muzik Malaysia. Melalui Rockestra 5.0 dan Festival Rock, legasi tersebut terus diperkasakan dengan pendekatan yang lebih segar, inklusif dan relevan kepada generasi masa kini.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memperkasa pembangunan seni, budaya dan industri kreatif, selaras dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang bukan sahaja maju dari aspek fizikal, malah kaya dengan aktiviti kebudayaan, warisan dan kehidupan seni yang dinamik.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Rockestra 5.0 dan Festival Rock. Masuk adalah percuma.