Terkini | New

Hael Husaini Diusik 'LARA' , Tiga Nama Besar Industri Muzik Malaysia Hael Husaini, Naim Daniel & Haqiem Rusli Bergabung Suara

Tiga Nama Besar Industri Muzik Malaysia - Hael Husaini, Naim Daniel & Haqiem Rusli Bergabung Suara Dalam Sebuah Mahakarya Hebat.



Tahniah dan buat julung-julung kalinya, dan yang pertama dalam sejarah, tiga nama besar industri muzik Malaysia, Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 2017 dan 2018, Hael Husaini, Juara AJL 2019, Naim Daniel, dan pemenang tempat ketiga AJL 2017, Haqiem Rusli, bergabung suara dan berpadu emosi dalam sebuah mahakarya hebat berjudul ‘Lara’.

Lagu ini dijangka bakal menjadi fenomena di seluruh negara, ditulis dan digubah oleh Hael Husaini sendiri, bersama rakan komposer disegani, MFMF, dan turut mendapat sentuhan daripada Naim Daniel dan Haqiem Rusli.



Pemenang Anugerah MeleTOP ERA 2019 dan Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2019 bagi kategori Duo/Berkumpulan ini berkata, “Pertama sekali saya ingin ungkapkan perasaan syukur dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua penyanyi muda berbakat besar tanah air, Naim Daniel dan Haqiem Rusli kerana kesudian mereka bekerjasama dalam Lara.



Idea tercetusnya lagu ini datang ketika saya berada di Jakarta lagi sewaktu mengendalikan rancangan ‘Stariser’ bersama Chakra Khan anjuran Astro Gempak, sepanjang berada di sana, saya mendapat beberapa ilham baru, dan setibanya di Malaysia saya terus hubungi MFMF dan kami mula berbincang dan terus berkarya.

Lara sebagaimana maksudnya yang jelas, iaitu berasa sedih, menceritakan tentang perasaan yang remuk akibat dikecewakan oleh seseorang, namun pendengar bebas meletakkan interpretasi masing-masing berdasarkan pengalaman mereka sendiri.”


Jelas Hael lagi, “Proses untuk menghasilkan lagu ini mengambil masa sekitar tiga bulan, selepas rangka awal disiapkan, saya dan MFMF meminta Naim dan Haqiem untuk memberi sedikit gubahan dan idea mereka untuk menyiapkan lagu ini.

 


Segala proses rakaman audio dan juga muzik video dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, boleh dikatakan ketika fasa PKPP tiada sebarang kesulitan atau halangan, dan semua kerja dilakukan mengikut SOP yang sepatutnya.”

“Sangat mudah bekerjasama dengan mereka berdua kerana mereka antara rakan industri yang agak rapat dengan saya, dan kami juga mengenali satu sama lain secara peribadi, jadi proses itu menjadi lebih mudah.
Semuanya bermula dengan borak-borak kosong, kami sering ditemukan dalam program atau acara yang sama, dan pernah terdetik untuk mengajak Naim dan Haqiem untuk berkolaborasi jika ada peluang,” 
tambah beliau.


Penyanyi serta pelakon terkenal, Naim Daniel bercerita, “Saya seronok dapat berkolaborasi dengan Hael dan Haqiem kerana mudah berkerjasama dengan mereka, selain keluar dari comfort zone saya iaitu team yang biasa saya bekerjasama, saya dapati kami mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam bidang muzik, pelbagai idea yang dicurahkan dan banyak yang saya pelajari sepanjang proses rakaman berlangsung.”

Menurut penyanyi dan komposer muda sedang meningkat naik, Haqiem Rusli pula, “Pengalaman bekerjasama dengan Hael sangat luar biasa, beliau merupakan senior yang saya kagumi, seorang yang straight-to-the-point dan tahu apa yang beliau mahukan.

Saya sangat teruja dengan kolaborasi ini, kalau dulu kita ada trio tiga suara, kini kami tampilkan sesuatu yang berlainan demi mewarnai industri muzik tempatan.”



Encik Feros Sayna, selaku Ketua Label Rocketfuel Entertainment memberi komen, “Pada awalnya, saya terlebih dahulu telah berbincang dengan pihak World Peace Entertainment dan FMC Music menyatakan hasrat Rockefuel Entertainment untuk bergabung, pelawaan kami disambut baik dan semuanya berjalan lancar.

Berani saya katakan bahawa sejarah bakal tercipta melalui lagu Lara dengan kolaborasi nama-nama besar industri muzik Malaysia kerana setiap daripada mereka ada kekuatan masing-masing, Hael Husaini dengan idea-idea hebatnya yang selalu hit, Naim Daniel, penyanyi serba boleh dengan kekuatan vokal yang tersendiri, manakala, Haqiem Rusli, anak muda berjiwa kreatif dan seorang penyanyi yang bagus.”


“Harapan saya sama sahaja untuk setiap karya yang dihasilkan, kami mengharapkan sokongan yang tak berbelah bagi dari semua penggemar muzik tempatan untuk menaikkan sesebuah lagu, kerana anda yang bakal menentukan nasib sesebuah karya itu sampai ke tahap yang sepatutnya,” akhiri Hael.




Lagu ‘Lara’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer bermula 1 November 2020. 

Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Lara’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.