Terkini | New

SETELAH 16 TAHUN MIRWANA TANPA FAIZAL TAHIR, MEREKA KEMBALI BERSAMA


“Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka.” Kata Faizal Tahir setelah mengejutkan ramai orang apabila beliau kembali berkolaborasi bersama Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

Setelah 16 tahun, rata-rata netizen berasa amat teruja dan meniggalkan komen yang baik setelah melihat posting Faizal dan Mirwana di laman media sosial mengenai ‘reunion’ ini. Bersama dengan Hafiz, Izzat, Akmal dan Along, Faizal Tahir merupakan salah seorang anggota Mirwana dan telah keluar dari kumpulan tersebut pada tahun 2005.

Setahun selepas itu, Faizal telah menyertai sebuah pertandingan nyanyian realiti dan sejak itu beliau terus mengorak langkah sebagai penyanyi solo sehinggalah ke hari ini dimana Faizal juga telah mencipta nama sebagai komposer dan penerbit muzik yang berada di kelas tersendiri. Mirwana pula tetap meneruskan perjalanan mereka dan terus bergiat aktif dalam arena nasyid bersama beberapa anggota baharu.

Aku Tanpa CintaMu telah membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005. Alunan melodi yang merdu serta bait-bait lirik yang menyentuh jiwa telah berjaya meletakkan Mirwana sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu.



“Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami berkerjasama semula, saya dan Mirwana sebenarnya sudah berbincang dari beberapa tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai. Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini.” Jawab Faizal mengenai bagaimana bermulanya projek ini.

Wakil dari kumpulan Mirwana, Hafiz pula berkata, “Yang lebih penting adalah ukhuwah diantara kami, keluarga dan sahabat diharap akan lebih erat dan baik. Sejak kebelakangan ini, kami dapat melihat pelbagai usaha yang dilakukan oleh penggiat seni untuk mengangkat semula nasyid dan kami tidak mahu ketinggalan. Maka 2021 adalah tahun yang tepat untuk kami susuli dengan sebuah lagu nostalgia yang diberi nafas baru.”


Apabila ditanya mengenai pengunduran Faizal Tahir pada 16 tahun yang lalu, Hafiz berkata, “Itu adalah satu keputusan yang tepat. Jelas ketika itu, Mirwana mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang sedikit berbeza. Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muzik beliau lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama.”

Lebih menarik lagi, kesemua ahli baharu kumpulan Mirwana iaitu Naim, Faiz dan Ikram turut sama menjayakan muzik video Aku Tanpa CintaMu 2021 yang mengangkat tema dan isu penderaan kanak-kanak. “Isu penderaan ini adalah satu gejala dan tragedi yang mesti diberi perhatian oleh semua. Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah Allah agar menyentuh hati dan jiwa masyarakat.” tambah Hafiz.

Aku Tanpa CintaMu 2021 juga telah dimuatkan dalam koleksi audio ‘Qibla’ yang baru dilancarkan oleh Faizal dan syarikat rakamannya, Faithful Music. Selain itu Faizal turut memuatkan rakaman semula ‘Ceria Aidilfitri’ dan lagu baru berjudul ‘Syahadah’ bersama dengan sepuluh klip audio tadabbur yang dibaca olehnya sendiri.

Semoga lagu Aku Tanpa CintaMu 2021 ini dapat mengubat kerinduan para peminat kumpulan Mirwana dan semoga Ramadan ini memberi makna kepada seluruh umat Islam.

Aku Tanpa CintaMu adalah karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab manakala sususan muzik versi 2021 ini pula telah digubah oleh Adib Hussin dan Faizal Tahir sendiri. Lagu ini adalah terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.


Dengarkan Aku Tanpa CintaMu 2021 di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox bermula 9 April 2021 manakala video muzik rasmi pula pada 12 April 2021 di saluran YouTube Faizal Tahir.