Terkini | New

KEMPEN ‘SHOP & BE REWARDED 2.0’ KEMBALI DENGAN PENEBUSAN E-BAUCAR DAN TAWARAN PAKEJ MINAT KHAS DI PAMERAN MISS SHOPHIA GO TRAVEL 2022

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ serta Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik.


Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) yang menawarkan penebusan e-baucar untuk rakyat Malaysia di bawah Kluster Pelancongan Minat Khas menerusi segmen beli-belah dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia. Penerusan penyaluran insentif kepada Keluarga Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat, merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).



Di bawah kempen ini, pengguna berpeluang menebus e-baucar bernilai RM30 bagi pembelian minimum RM100 di 35 pusat beli-belah yang mengambil bahagian. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR di kedai-kedai dalam pusat beli-belah berkenaan bagi tujuan pendaftaran dan penebusan e-baucar.




Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ akan dilaksanakan dalam dua siri. Siri pertama kempen bermula 20 Ogos hingga 4 September 2022 manakala siri kedua dijadualkan berlangsung mulai 22 Oktober sehingga 6 November 2022.





Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, sejumlah 66,666 e-baucar bernilai hampir RM2 juta ditawarkan untuk penebusan terawal sepanjang tempoh kempen.


“Menariknya pada kali ini, pengguna boleh membuat penebusan e-baucar sehingga dua kali iaitu sekali penebusan bagi setiap siri kempen,” katanya.








Sementara itu, penganjuran julung-julung kali Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 dengan kerjasama 1-Utama Shopping Centre, Paradigm Mall Johor Bahru dan Visa Malaysia pula menyaksikan pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran pakej pelancongan minat khas daripada 16 pempamer selain pengisian demonstrasi kraftangan dan masakan, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah.







Pameran berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan siri kedua akan diadakan di Paradigm Mall Johor Bahru pada 21-23 Oktober 2022. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Tourism Malaysia di www.malaysia.travel .