Terkini | New

Aidiladha Jemputan Haji Bersama TV AlHijrah

Aidiladha Jemputan Haji Bersama TV AlHijrah

TV AlHijrah berasa terpanggil untuk mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam yang penuh falsafah kehidupan untuk dihayati.



Ketibaan bulan Zulhijjah sangat istimewa dan seharusnya dinanti-nanti bukan sahaja kerana sambutan Aidiladha, namun bulan ini terhimpun kelebihan, fadhilat dan keistimewaannya tersendiri. Bulan ini juga ibadah haji telah difardukan oleh Allah S.W.T ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W. Bulan istimewa ini juga digelar sebagai Assyahrul Hurum, bulan yang diharamkan oleh Allah S.WT untuk berperang.


Memahami konsep ibadah haji secara jelas sangat perlu diutamakan bagi setiap jemaah haji yang terpilih menerima jemputan bertamu ke rumah Allah khususnya dan seluruh umat Islam umumnya. Ini kerana, salah faham rukun Islam kelima ini akan menjadikan ibadah kita tersasar dari tujuan utama ibadat ini disyariatkan.


Konsep haji yang luas menyeru kepada perpaduan, penyatuan umat dan gerakan fizikal yang memaknakan ketundukan hamba di hadapan Allah menjadi intipati utama kepada ibadah ini. Pada kesedaran sebeginilah pengertian menjadi tetamu Allah itu akan menjadi bernilai dan bermanfaat kepada semua.


Ibadah haji yang meliputi satu model kehidupan yang holistik ini bertepatan dengan kerangka negara madani dan konsep Al-Falah. Ia dapat menganjakkan sesebuah masyarakat kepada kehidupan yang menepati kehendak agama; cemerlang di dunia dan kehidupan Akhirat.


Selain itu, ibadah haji dapat menghapus garis pemisah antara putih dan hitam warna kulit, hierarki sosial dan perbezaan pangkat dan darjat menjadi ummah yang satu secara langsung menolak unsur jahiliah yang mungkin berbaki dalam masyarakat seperti ikatan kaum, keturunan, bangsa, negara dan lain-lain.



Sempena kedatangan musim haji 1444H, memposisikan keberadaan sebagai media Islam yang senantiasa memperjuangkan Islam, mendokong aspirasi mewujudkan Malaysia Madani dan menjayakan Gagasan Al-Falah, TV AlHijrah berasa terpanggil untuk mengekalkan tradisi sebagai sebuah stesen televisyen utama di Malaysia yang meraikan hari kebesaran Islam yang penuh falsafah kehidupan untuk dihayati.


Dorongan untuk menjadi masyarakat yang beradab, berperikemanusiaan dan berkeadilan sebagaimana digariskan oleh matlamat mewujudkan Malaysia Madani ini telah lama dijelmakan melalui falsafah haji yang sentiasa mempromosikan sikap toleransi, sabar, hormat-menghormati, kasih-sayang dan pelbagai nilai murni dalam hubungan horizontal.


"Menaikkan slogan Jemputan Haji pada tahun ini, TV AlHijrah istiqamah meneruskan agenda dakwahnya melalui beberapa program dirangka khas untuk mencetuskan rasa syukur jemaah atas takdir terpilih ke tanah suci, rasa pengharapan kepada undangan Allah kepada mereka yang belum berkesempatan menjadi tetamu-Nya dan mendorong keinginan penonton semua untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah apabila berkemampuan, ujar YBRS. ENCIK NAMANZEE HARRIS KPE TV ALHIJRAH"



TV AlHijrah hidangkan pelbagai rancangan istimewa untuk kempen haji kali ini. Antaranya adalah seperti Program Cinta Ilmu Aidiladha melalui tiga segmen Islam, Iman dan Ihsan yang akan ke udara pada Isnin hingga Rabu, pukul 7.30 malam.


Program bual bicara Labbaikallah pula dikekalkan bagi mengundang nostalgia mereka yang pernah menunaikan ibadah ini mahupun mereka yang baru menerima jemputan pada tahun ini agar dapat mengubat rindu terhadap Baitullah serta mengimbau detik indah ketika melakukan persediaan awal hinggalah Hari Tasyrik.


Mulai bersiaran setiap hari bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini pada pukul 9 malam, program Labbaikallah kali ini akan mengundang barisan ustaz jemputan iaitu Ustaz Jafri, Ustaz Rozi, Ustaz Zarifi, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Hanafiah, Ustazah Muzayyanah dan Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Fazrul sebagai pentadabbur serta qari Ustaz Tarmizi dan Tilmiz Fahmi.


Manakala Peristiwa Haji yang bakal disiarkan pada malam raya pukul 10.30 malam pula bertujuan mengajak penonton mengimbas kembali peristiwa-peristiwa di sebalik ibadah haji, untuk diekstrak iktibar darinya sebagai panduan kehidupan, diteruskan pada tahun ini atas permintaan penonton diharapkan dapat melorongkan masyarakat kepada hasil didikan ibadah ini iaitu hidup bersatu dalam harmoni.

Selain itu Kempen Haji tahun ini juga diimarahkan dengan program Siaran Langsung Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2023 yang telah bermula dari 11 Jun 2023 hingga 16 Jun 2023 ini di mana Pulau Pinang menjadi tuan rumah.


Program Munajat Arafah berdurasi dua jam yang akan disiarkan pada 28 Jun, pukul 12.30 tengah hari hingga 7.00 malam pula akan membawa penonton bermunajat kepada Allah dan memperingati kelebihan Hari Arafah.

Program-program menarik lain yang turut disusun khas adalah seperti Hijrah Berselawat Istimewa Aidiladha, Gema Haflah Istimewa Aidiladha, Program Barakah, program Rehlah Ibrahim dan Seikhlas Hati.


Dalam pada itu juga, TV AlHijrah turut juga membariskan beberapa program malar segar seperti Kapsul Ibadah Haji, Al-Haramain, Interaktif Haji, Ustaz Pilot, Tangisan Baitullah yang telah dimulakan siarannya sejak 22 Mei lalu. Selain itu, Sembang Haji yang membincangkan isu-isu haji dan menjawab persoalan serta tanda tanya dalam kalangan masyarakat juga diteruskan untuk terus menjadi rujukan para jemaah.


Program-program yang diatur ini diharapkan dapat membentuk sebuah masyarakat yang kaya ilmu, bertamadun dan berjaya menjadi sebuah negara yang mendapat suluhan wahyu-Nya di mana kemanusiaan dan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang adil dan berkesan melalui enam nilai teras iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat-menghormati, amanah dan belas mekar selari dengan suburnya pertumbuhan pohon tamadun itu sendiri.


Rancangan-rancangan menarik Kempen Haji 1444H di TV AlHijrah turut boleh dinikmati menerusi aplikasi peranti pintar stesen ini, AlHijrah Plus dengan lebih 6,000 program ilmu pendidikan serta hiburan berlandaskan Islam yang dapat ditonton bila-bila masa dan di mana sahaja.

TV AlHijrah mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sinergi korporat, rakan-rakan media, serta barisan asatizah dan personaliti yang hadir memberi sokongan pada hari ini. Anda senantiasa bersama kami di sepanjang perjalanan kematangan TV AlHijrah menebar dakwah.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman sosial TV AlHijrah di https://www.facebook.com/tvalhijrah