Terkini | New

PROGRAM TEAM MALAYSIA DUA BENUA, SATU MATLAMAT MEMPERKASA GOLONGAN BELIA

PROGRAM TEAM MALAYSIA: DUA BENUA, SATU MATLAMAT – MEMPERKASA GOLONGAN BELIA UNTUK MENGORAK LANGKAH DALAM MENENTUKAN MASA DEPAN MEREKA.


Selangor Youth Community ( SAY ) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor telah bekerjasama dengan Prince's Trust International, sebuah organisasi global yang diasaskan oleh Yang Mulia Raja Charles III. Kerjasama ini telah menyaksikan satu inisiatif iaitu Program TEAM yang dilaksanakan bagi menyokong para belia Malaysia melalui modul-modul perkembangan peribadi dan profesional selama 9 minggu.



Hairul, salah seorang peserta dalam program ini telah dinobatkan sebagai penerima anugerah 2022 Prince’s Trust Sustainability Award for Asia. Anugerah ini mengiktiraf penglibatan dan perkembangan golongan belia yang cemerlang dalam program Prince's Trust di seluruh dunia.



Bagi meraikan pencapaian Hairul, satu majlis eksklusif telah dilaksanakan bersama golongan belia, penyokong serta semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan inisiatif program TEAM.


Majlis penganugerahan itu berlangsung di Sunway Putra Hotel, KL dan turut disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kisah perjalanan hidup Hairul dalam usaha mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian dan bagaimana beliau bangkit semula melalui Program TEAM telah membuka mata ramai mengenai kepentingan program seumpama itu.


Hairul turut berkongsi cabaran yang sama dengan jutaan golongan belia yang lain iaitu.kehilangan pekerjaan semasa pandemik wabak Covid 19. Namun begitu, Hairul tidak berputus asa dan nekad untuk menjadikan halangan tersebut sebagai pembakar semangat beliau.

Beliau yang sebelum ini merupakan juruteknik kejuruteraan bertekad untuk mencari peluang pekerjaan baharu dan mendaftar untuk program TEAM. Sepanjang program TEAM, Hairul merupakan peserta yang proaktif dan sentiasa bersedia mencuba aktiviti baharu.


Hairul juga telah ditempatkan di Pusat Pemuliharaan & Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) bagi melaksanakan latihan pekerjaan selama 2 minggu. Kagum dengan prestasi beliau, pusat itu menawarkan beliau pekerjaan sebagai penolong penyelidik selepas beliau menamatkan program TEAM.


Kini, sebagai Penyelaras Biodiversiti & Pemulihan, Hairul meluangkan harinya bekerja di hutan, menjaga anak pokok asli dan memantau hidupan liar. Beliau telah menemui tujuan yang lebih bermakna dalam hidupnya, yang memberi tumpuan bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi juga masyarakat sekeliling dan alam semula jadi.


Hairul berkata bahawa nilai-nilai yang diperolehi daripada Program TEAM telah membantu beliau dalam menetapkan laluan dan matlamat hidup serta memulakan kerjayanya. “Saya percaya ini hanyalah permulaan untuk saya mencapai tahap yang lebih tinggi mulai hari ini dan hari-hari seterusnya. Saya berharap Program TEAM dapat kekal maju di masa hadapan untuk memberi peluang kepada lebih ramai belia untuk berjaya.”


Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor bertitah “Beta amat berbangga dengan Hairul dan pencapaiannya.



Perjalanannya menjadi inspirasi kepada ramai anak muda yang sedang berjuang di luar sana. Beta turut berbangga dengan semua anak muda yang telah menyertai program ini. Beta harap kita dapat terus membantu lebih ramai anak muda di luar sana dan memberi inspirasi kepada perkembangan mereka.”




Maklumat tentang SELANGOR YOUTH COMMUNITY (SAY)

Selangor Youth Community (SAY) telah ditubuhkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharaduddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor pada tahun 2017. SAY ialah sebuah badan bukan kerajaan, bukan politik dan bukan berasaskan keuntungan yang berusaha untuk melahirkan belia yang dinamik dan progresif di negeri Selangor.

Berdasarkan kajian dan bengkel yang dijalankan oleh Boston Consulting Group dalam mengenal pasti belia di Selangor, SAY berteraskan empat teras utama iaitu Keusahawanan, Sukan dan Kesejahteraan,
Seni dan Kreatif, dan Khidmat Masyarakat. Empat focus utama ini sejajar dengan kepentingan belia di negeri Selangor. Sehingga 2022, SAY telah memberi impak positif kepada seramai 310,738 belia, bukan sahaja tertumpu di negeri Selangor malah juga di seluruh Malaysia melalui lebih 200 inisiatif dan program bermula dari tahun pertama penubuhan sekaligus menghasilkan pulangan sosial pelaburan.

Facebook: Selangor Youth Community 
Twitter: @SelangorYouth 
Instagram: @SelangorYouth