TRIO GERGASI KRU KEMBALI GEGARKAN MALAYSIA 3 HARI DI AXIATA
TRIO GERGASI KRU KEMBALI GEGARKAN MALAYSIA 4 HARI DI AXIATA

Dengan segudang prestasi cemerlang, pelbagai anugerah dari berkredibiliti sehingga paling popular, laungan ‘ke tepi… ke tepi… gergasi sudah kembali’ adalah sangat signifikan untuk mempersembahkan satu-satunya trio legenda negara, KRU.
KRU, trio tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim mula menularkan virus dan revolusi sebuah kumpulan muzik dengan irama pop dan hip hop di Malaysia pada tahun 1992.
Lebih dua dekad, pada saat banyak trio dan kugiran memasuki pasaran tempatan, KRU tidak pernah dilupakan. KRU adalah legenda sepanjang zaman.
“Adalah menjadi penghormatan buat ICON ENTERTAINMENT mempersembahan KONSERT GENKRU kerana kredibiliti dan sejarah demi sejarah yang telah dicetak KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini. Saya sebenarnya telah merisik mereka dari 1 November 2022 lagi dan akhirnya pada September 2024, mereka bersetuju dengan pinangan saya.
“Tidak ada banyak janji yang ingin saya berikan kecuali anda rugi besar kalau tidak menghadiri KONSERT GENKRU di AXIATA ARENA pada 3, 4 dan 10 MEI 2025 kerana ini merupakan penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sudah sangat ranum dalam semua aspek industri hiburan selepas menebarkan virus ‘fanatik’ terhadap muzik tempatan yang punya kualiti hebat setaraf muzik dunia,” ujar Pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang.
Memasarkan karya dengan judul Kaset yang mempunyai nostalgia tersendiri buat KRU dan generasi yang membesar bersama karya-karya hebat mereka, KRU siap mempamerkan sebuah konsert mega selepas kali terakhir membuat persembahan di Istana Budaya menerusi Konsert GenerasiKRU25 pada Mei 2018.
“Selepas lebih enam tahun tidak membuat konsert berskala besar bersama KRU, kami menerima cadangan ICON ENTERTAINMENT menganjurkan KONSERT GENKRU kerana mempunyai misi dan visi yang sama dengan kami.
“KONSERT GENKRU bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.
“Konsert ini menjadi medan peminat melihat transisi KRU dari generasi 90-an sehingga berkembang dan membina empayar kami pada masa kini,” ujar KRU.