Genting Bersama Malaysia Cetus Ilham Anak Muda
Genting Bersama Malaysia Cetus Ilham Anak Muda
Pertandingan Seni CEO Art Challenge Raikan Impian Kreatif Murid Sekolah Rendah di Malaysia

Genting Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Sekolah Kebangsaan Sri Layang, hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan melukis dan mewarna Chief Experience Officer (CEO) Art Challenge (Ketua Pegawai Pengalaman) – sebuah pertandingan seni yang bertujuan mencungkil daya imaginasi dan bakat kreatif dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.


Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Genting Bersama Malaysia’, yang menggalakkan kanak-kanak untuk meluahkan impian mereka mengenai percutian bersama keluarga di Resorts World Genting, melalui karya seni yang penuh warna dan makna. Lebih 170 murid dari prasekolah hingga ke tahun 6 mengambil bahagian, dengan pertandingan berlangsung dari 18 Jun hingga 2 Julai 2025, dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah hari ini di SK Sri Layang.


Sebanyak 21 orang pemenang telah dipilih 18 daripada kategori Tahun 1 hingga Tahun 6, dan 3 daripada kategori prasekolah. Hadiah yang ditawarkan termasuk tiket masuk ke Taman Tema Tertutup Skytropolis, set permainan dan boneka untuk pemenang prasekolah, serta sijil penyertaan untuk semua murid. Karya-karya yang dihasilkan memaparkan kegembiraan dan keajaiban impian percutian keluarga mereka, sekaligus memupuk kreativiti serta daya cipta generasi masa depan.


“Menerusi inisiatif Genting Bersama Malaysia, kami bukan sekadar meraikan kreativiti kami memperkasakannya. CEO Art Challenge ialah platform bagi kanak-kanak untuk berani bermimpi, bebas mengekspresikan diri dan yakin terhadap kekuatan idea mereka. Setiap lukisan mencerminkan inspirasi anak-anak kita melalui perspektif kesejahteraan dan kebersamaan,” kata Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting.


Selain majlis penyampaian hadiah, semua hasil karya akan dipamerkan di Resorts World Genting dalam satu pameran khas sebagai penghargaan kepada bakat murid-murid yang terlibat, dan juga peluang untuk tontonan umum. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Genting Malaysia untuk mengeratkan hubungan penuh makna bersama komuniti setempat melalui pemerkasaan seni dan pendidikan ke arah masa depan yang lebih kreatif dan penuh inspirasi.