Terkini | New

Sheila Majid Rai Empat Dekad dalam Industri Muzik dengan Konsert Mega "Sheila Majid 40 Years in Music"

Sheila Majid Rai Empat Dekad dalam Industri Muzik dengan Konsert Mega "Sheila Majid 40 Years in Music"


Altus Prohouse dengan bangganya mengumumkan penganjuran konsert mega "Sheila Majid 40 Years in Music," meraikan empat dekad perjalanan seni Ratu Jazz Nusantara, Dato' Sheila Majid. Konsert yang bakal menjadi mercu tanda sejarah ini akan berlangsung pada 8 November 2025, jam 8:30 malam, di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert ini dijayakan dengan kerjasama penganjur bersama, TopGallant Show.


"Sheila Majid 40 Years in Music" bukan sekadar konsert tribut, tetapi sebuah perayaan evolusi karier seorang legenda yang terus relevan dan berkembang dalam industri muzik. Konsert ini bertujuan untuk menyatukan peminat Sheila Majid dan meraikan 40 tahun perjalanan muzik beliau yang indah, serta mengalu-alukan perancangan baharu beliau untuk masa hadapan.



Menurut Miselyn Yee Siew dari Altus Prohouse, "Kami amat berbangga mengumumkan konsert 'Sheila Majid 40 Years in Music' di Axiata Arena Bukit Jalil. Sheila Majid adalah figura penting dalam dunia muzik Nusantara yang perlu diraikan dalam sebuah penganjuran konsert yang gah. Usia 40 tahun atau empat dekad adalah pencapaian luar biasa untuk seorang karyawan seni yang bukan sahaja bertahan, tetapi terus relevan dalam pasaran masa kini. Konsert ini adalah pesta meraikan perjalanan panjang Sheila, detik-detik penting dan manis beliau, serta bagaimana lagu-lagu ikonik seperti 'Sinaran,' 'Hitam Putih Kehidupan,' 'Legenda,' dan 'Antara Anyer Dan Jakarta' telah menawan hati penggemar muzik generasi kini".


Dato' Sheila Majid turut menyifatkan konsert ini sebagai sebuah tanda penghargaan kepada individu-individu hebat yang telah banyak membantu dalam kariernya. "Empat dekad atau 40 tahun adalah satu fasa perjalanan karier yang cukup panjang. Saya tidak pernah menyangka memiliki keberuntungan dicintai peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak 40 tahun lepas. Ini adalah anugerah buat saya. Keberadaan empat dekad saya dalam industri seni Nusantara juga bukan hasil individu, tetapi saya telah bertuah kerana mendapat khidmat ramai 'arkitek' dan 'tangan magis' yang membantu karier saya sehingga kini. Justeru, 'Sheila Majid 40 Years in Music' adalah tanda manis kepada karier saya yang masih diterima baik oleh generasi kini," ujar Sheila Majid.



Konsert ini menjanjikan pengalaman visual dan muzik yang menakjubkan dengan sokongan pasukan kreatif yang hebat:

* Mac Chew: Pengarah Muzikal Sheila Majid sejak 1987, penting dalam membentuk bunyi ikoniknya.

* Jenny Chin: Kolaborator bersama yang terkenal di sebalik bunyi ikonik Sheila, serta sinergi kreatifnya bersama Mac Chew.

* Jennifer Thompson: Pengarah konsert yang terkenal dalam memberikan persembahan secara langsung berskala besar dan berimpak tinggi.

* Steve Ho: Pereka pentas, LED dan pencahayaan yang diiktiraf antarabangsa, termasuk untuk ikon muzik Cantopop Jacky Cheung dan Eason Chan.

Satu keistimewaan konsert ini adalah ZON PARTI Eksklusif yang menyediakan meja koktel dan membolehkan peminat menyanyi, menari, dan meraikan secara lebih dekat dengan Sheila dalam suasana yang paling meriah. Pemegang tiket ZON PARTI juga akan menerima Pek Parti eksklusif dengan hadiah menarik.

Tiket untuk "Sheila Majid 40 Years in Music" akan mula dijual pada 17 Julai 2025, pukul 10 pagi. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ticket2u.com.my/sheilamajid40 atau hubungi talian hotline +6019-595 1931.